malaysiakini logo
story-image
ADS

Kementerian Pendidikan akan melaksanakan keseragaman kepada penetapan hukuman dan tindakan yang diambil terhadap pelajar universiti oleh Jawatankuasa Tatatertib di semua Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

"Langkah ini (penyeragaman) bagi mengelakkan hukuman yang berbeza di terima (oleh pelajar) walaupun kesalahan mereka sama," kata Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Hon Choon Kim.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Seminar Peraturan Tatatertib Pelajar 2001 di Kuala Lumpur, pagi tadi.

Sementara itu Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Profesor Dr Hassan Said dalam sidang akhbar yang sama berkata walaupun bilangan kes yang membabitkan perbezaan hukuman kepada pelajar tidak banyak tetapi perkara itu perlu diberi perhatian.

"Walaupun (jumlah kes) kecil tetapi kita (kementerian) ambil serius kerana jika ia (hukuman) tidak konsisten, nanti timbul ketidak percayaan kepada universiti itu," jelasnya.

Menurut Hassan dengan penyeragaman itu nanti, rayuan pelajar kepada kementerian agar menimbangkan semula hukuman mereka dapat dikurangkan.

"Kalau tiada rayuan bermakna hukuman yang dikenakan kepada mereka adil," katanya.

Rayuan bertulis

Pada 1988, jumlah rayuan yang diterima kementerian itu ialah 77 kes dan menurun kepada 75 pada 1999. Namun ia meningkat kepada 101 kes rayuan tahun lalu dan 98 kes sehingga September tahun ini.

Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) di bawah perkara 16 B(4) membenarkan pelajar yang dikenakan tindakan atau hukuman oleh universitinya untuk mengemukakan rayuan secara bertulis kepada menteri pendidikan sekiranya pelajar itu tidak berpuashati dengan keputusan jawatankuasa tatatertib universitinya.

Terdahulu dalam teks ucapan oleh Menteri Pendidikan yang dibaca oleh timbalannya, Tan Sri Musa Mohamad berkata, "Para pentadbir diseru peka dengan dengan tindakan tatatertib seperti masa penyerahan notis, butiran perbicaraan dan pembelaan diri pelajar. Langkah ini sekurang-kurangnya dapat menyediakan hukuman yang seragam terhadap semua IPTA."

Selain itu menurutnya dalam mengambil tindakan terhadap pelajar, terdapat dua kaedah perlu dilaksanakan serentak iaitu kaedah pencegahan kepada majoriti pelajar dan kaedah hukuman kepada minoriti yang melakukan perbuatan menjejaskan imej universiti.

"Kita juga wajib melihat pendekatan pengajaran atau hukuman terhadap segelintir pelajar kita yang membawa 'lumpur' kepada institusi ilmu," katanya.

Seminar sehari yang bertema "Ke Arah Pemantapan Pengambilan Tindakan-tindakan Tatatertib di Kalangan IPTA" dihadiri oleh hampir 100 pegawai tinggi akademik termasuk naib canselor dan timbalan naib canselor semua universiti awam di negara ini.

Dua kertas kerja dibentangkan iaitu "Perundangan Negara dan Implikasi Terhadap Pendidikan Tinggi" oleh Ketua Bahagian Penasihat dan Antarabangsa, Jabatan Peguam Negara, Datuk Zaitun Zawiyah Puteh dan "Pelaksanaan Tindakan Tatatertib di IPTA" oleh Penasihat Undang-undang Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi, Resali Muda.

Untuk pelajar tempatan

Dalam seminar itu, Zaitun memberitahu Auku hanya dikuatkuasa kepada pelajar yang berada di negara ini.

"Jika pelajar itu berada di luar negara maka terpulanglah kepada undang-undang negara itu," katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditanya mengenai penubuhan kelab parti politik oleh pelajar di luar negara walaupun di dalam seksyen 15 (1) Akta Auku melarang penglibatan pelajar universiti daripada menjadi ahli sebarang persatuan ataupun parti politik.

Bagaimanapun, menurutnya kelonggaran dalam prinsip undang-undang tetap wujud dalam akta itu.

"Jika pelajar (di negara ini) mahu menjadi ahli kepada mana-mana parti politik atau pertubuhan, pelajar itu boleh meminta kebenaran daripada naib canselor universiti seperti yang disebut dalam akta itu.

Seksyen 15 (1) melarang seseorang pelajar daripada menjadi ahli atau mengadakan sebarang perhubungan dengan mana-mana persatuan, parti politik, kesatuan sekerja atau lain-lain pertubuhan, badan atau kumpulan orang. Ia termasuk sama ada pertubuhan di luar atau dalam universiti dan di luar Malaysia melainkan dibenarkan oleh pihak univeristi atau terlebih meminta kebenaran bertulis daripada naib canselor.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.