malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Polis patahkan plot pengganas serang rumah ibadat, pusat hiburan
ADS

Empat lelaki yang dikaitkan dengan pengganas IS ditahan pada minggu pertama Ramadan, berhubung dengan plot menyerang rumah ibadat bukan Islam dan pusat hiburan sekitar Kuala Lumpur.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata, empat lelaki itu juga merancang membunuh beberapa individu "berprofil tinggi" yang dianggap tidak memperjuangkan serta menghina Islam.

Abdul Hamid berkata empat yang ditahan berusia antara 20 hingga 49 tahun, dengan seorang warga Malaysia - dipercayai ketua kumpulan - dan Indonesia, manakala dua lagi etnik Rohingya.

Katanya lagi, operasi dilancarkan setelah Bahagian Anti Pengganas, Cawangan Khas Bukit Aman mengesan sel itu awal awal bulan ini dan tangkapan dibuat di Selangor, Kuala Lumpur dan Terengganu.

"Tangkapan (pertama) juga membawa kepada kejayaan merampas sepucuk pistol jenis CZ 9mm, 15 butir peluru dan enam batang 'improvised explosive device' (IED) yang setiap satu berukuran kira-kira 18cm panjang.

"Ia diperolehi dari negara jiran (dan) akan digunakan dalam operasi pembunuhan dan serangan ke atas tempat ibadat bukan Islam serta pusat hiburan," katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Hamid berkata, keempat-empat suspek mengaku menganggotai kumpulan 'wolf pack' IS dan merancang serangan sebagai "membalas dendam" terhadap kematian anggota bomba Mohamad Adib Mohd Kassim November lalu.

"Terlalu sensitif untuk saya dedahkan," kata Hamid ketika ditanya mengenai identiti individu berprofil tinggi yang disasarkan kumpulan itu.

Hamid menambah bahawa kumpulan itu telah beroperasi sejak Januari dan sebahagian besarnya berkomunikasi melalui Whatsapp.

Hamid juga mendedahkan bahawa salah seorang daripada pelarian Rohingya yang ditangkap mengaku sebagai penyokong Tentera Pembebasan Rohingya Arakan (ARSA) dan berhasrat melancarkan serangan terhadap Kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur, selain mahu kembali dan berjuang di Rakhine.

Sementara itu, pekerja kilang Indonesia berusia 49 tahun yang ditahan mengaku mempunyai rencana untuk ke Syria.

Semua empat suspek mengaku sebagai anggota IS, dipercayai dikaitkan dengan ahli IS Malaysia yang terkenal di Syria.

Hamid berkata kesemua mereka disyaki telah melanggar Seksyen V1A Kanun Keseksaan berhubung kesalahan yang berkaitan dengan keganasan dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012.

Beliau menambah bahawa polis juga memburu tiga suspek lain, dua lelaki Malaysia yang mempunyai alamat terakhir di Taman Bedong, Kedah, dan seorang Indonesia dengan alamat terakhir di Banting, Selangor.

Lihat Komen