malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Laporan Mindef dapati 'land swap' juga berlaku di bawah Dr M
Diterbitkan:  May 12, 2019 3:25 PM
Dikemaskini: 7:48 AM
ADS

Rumusan laporan akhir jawatankuasa siasatan Kementerian Pertahanan berhubung projek 'land swap' menunjukkan berlakunya "pertimbangan politik melebihi kepentingan kerajaan," termasuk ketika penggal pertama Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Ketika membentangkan laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan & Kewangan Kerajaan di Dewan Negara pada Khamis lalu - ulang tahun tahun pertama PH berkuasa - Menteri Pertahanan Mohamad Sabu menegaskan bahwa kepentingan politik berlaku dalam 13 dari 16 transaksi pertukaran tanah yang berlaku sejak 1997.

Walaupun tidak menyebutkan nama secara spesifik, Mohamad berkata perdana menteri dan menteri pertahanan dalam pentadbiran sebelum ini turut terlibat dalam urusan berkenaan.

Bagaimanapun, dalam sidang akhbar susulan pada hari sama, Mohamad menafikan penglibatan Mahathir dalam kes-kes berkenaan.

Penelitian ke atas rumusan lapran setebal 59 muka surat yang dimuat naik di laman web Kementerian Pertahanan, bagaimanapun, mendapati empat daripada 13 perjanjian pertukaran tanah berlaku semasa penggal pertama Mahathir menjadi perdana menteri.

Empat kes pertukaran tanah itu adalah:

  1. Pembangunan Semula Kem Transit dan Kem Rejimen 502 Askar Wataniah di Jalan Ampang yang bernilai RM66 juta. Ia diluluskan pada peringkat dasar oleh kabinet pada Oktober 1995 melalui tender terbuka. Syed Hamid Albar adalah menteri pertahanan ketika itu. Ia hanya siap pada September 2008.

  2. Pembangunan Markas 7 Bridged Skudai di Lot 2967,2763 dan 2764 Mukim Pulai, Johor, sebagai ganti tanah seluas 154.6 hektar di Plentong, Tebrau, bernilai RM256 juta. Ia diluluskan pada peringkat dasar oleh kabinet pada Februari 1997, tetapi merupakan projek yang gagal. Syed Hamid adalah menteri pertahanan ketika itu.

  3. Pembinaan Kompleks 1 Div & Kem 4 RRD, Muara Tuang, Kota Samarahan, Sarawak dan Pembinaan Akademi Tentera Malaysia (ATMA) Pakej IV di Sungai Besi, sebagai ganti 284.9 hektar tanah di Kapar dan Kuching melalui rundingan terus. Ia diluluskan pada peringkat dasar oleh kabinet pada Mei 1996. Syed Hamid adalah menteri pertahanan pada masa itu. Perjanjian itu hanya ditandatangani satu dekad kemudian, di bawah pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi. Ia siap pada Ogos 2011.

  4. Pembinaan kemudahan sukan di Kem Sungai Besi dan menaik taraf enam buah rumah keluarga angkatan tentera (RKAT) untuk batalion Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Kedah, dan empat batalion RAMD di Tapah, sebagai ganti kepada 1.6ha tanah ibu pejabat tentera di Jalan Kuching. Ia diluluskan pada peringkat dasar oleh kabinet pada Februari 1997. Syed Hamid adalah menteri pertahanan ketika itu. Sehingga hari ini, perjanjian itu belum ditandatangani.

Malaysiakini sudah menghubungi Mohamad untuk mendapatkan penjelasan.

Dua kontrak diberikan kepada satu pemaju sama

Nama syarikat pemaju yang dikaitkan dengan urusan tukar tanah disunting dalam laporan itu.

Bagaimanapun, dua projek yang disenaraikan di atas - pembinaan Kem Rejimen

502 Askar Wataniah di Kuala Lumpur dan Markas 7 Briged Skudai di Pulai - diberikan kepada kontraktor sama yang tidak berkelayakan.

Walaupun gagal menyelesaikan projek Kem Rejimen 502 Askar Wataniah pada masa yang ditetapkan, kontraktor itu dianugerahkan projek Markas 7 Briged Skudai, yang bernilai empat kali ganda kos yang projek yang pertama.

Nasihat audit diabaikan

Kegagalan menyiapkan Kem Rejimen 502 Askar Wataniah dibangkitkan dalam laporan audit pada 2002, yang mencadangkan agar kerajaan menamatkan kontrak untuk mengelakkan risiko kerugian.

Namun, kata laporan itu, kontrak masih diteruskan dan disiapkan pada tahun 2008.

"Syarikat didapati tidak dapat menyelesaikan menyiapkan kecacatan dan pembaikan. Kos penambahbaikan selepas Perakuan Siap Kerja (CPC) adalah dianggarkan sebanyak RM15.9 juta (kos projek RM66 juta).

"Bon penyelenggaraan gagal dicairkan oleh KEMENTAH kerana entiti yang mengeluarkan bon tidak lagi beroperasi dan bukan didaftarkan di bawah Kementerian Kewangan," kata rumusan laporan itu.

Bon penyelenggaraan yang dikeluarkan bagi projek itu gagal dikeluarkan, kerana kedua-dua piha terlibat tidak didaftarkan di bawah Kementerian Kewangan. Kedua-dua syarikat itu telah berhenti beroperasi.

Walaupun keputusan kerajaan hanya memberi tanah pajakan selama 99 tahun kepada pemaju swasta yang terlibat dalam perjanjian pertukaran tanah, pemaju untuk projek Kem Rejimen 502 Askar Wataniah menerima 4ha tanah pegangan bebas di Jalan Ampang.

Projek itu dikatakan mengandungi pelbagai kelemahan - termasuk kekurangan usaha wajar yang dijalankan, seperti kontrak yang ditandatangani sebelum skop terperinci projek dimuktamadkan.

Gagal melengkapkan bangunan politeknik

Menurut laporan itu lagi, kegagalan Menteri Pertahanan untuk mengeluarkan sijil ketidakpatuhan kerja (CNC) memburukkan keadaan.

Tanpa sijil itu, kerajaan tidak dapat mengenakan ganti rugi yang telah dipersetujui untuk projek berkenaan.

Anak syarikat pemaju projek itu juga telah dianugerahkan projek pembinaan Politeknik Muadzam Shah di Pekan, yang juga gagal diselesaikan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen