Pengiklanan

    Gaji lewat: Ramadan yang suram untuk kakitangan Utusan

    (Dikemaskini )

    Tahun ini merupakan Ramadan yang suram buat kakitangan Kumpulan Utusan Melayu Berhad apabila gaji mereka pada April belum dibayar dan ditangguhkan kepada tarikh yang belum ditentukan, menurut sumber.

    Malaysiakini difahamkan bahawa bayaran terakhir yang diterima mereka adalah pembayaran awal (advance payment) pada jumlah yang ditetapkan tidak lebih RM1,000, pada 26 April lalu.

    Gaji kakitangan bukan eksekutif Utusan Melayu dibayar setiap dua minggu, manakala kakitangan eksekutif dibayar secara bulanan.

    Syarikat akhbar pro-Umno itu menerbitkan dua akhbar berita bahasa Melayu, iaitu Utusan Malaysia dan Kosmo.

    “Syarikat amat memahami masalah kelewatan bayaran ini mengganggu kehidupan seharian semua kakitangan terutama dalam menyediakan keperluan berpuasa dan Hari Raya yang bakal menjelang.

    “Namun, syarikat masih berdepan dengan masalah aliran tunai yang kritikal, mengakibatkan baki gaji April 2019 tidak dapat dibayar mengikut jadual yang sepatutnya,” menurut memo dari pengerusi Utusan Melayu Aziz Sheik Fadzir yang dilihat oleh Malaysiakini.

    Memo yang bertarikh 10 Mei itu tidak menyatakan tarikh gaji bagi bulan April akan dibayar.

    Memo itu juga menyatakan bahawa gaji pada Mei akan turut menghadapi kelewatan bayaran, sehingga bayaran April dapat diselesaikan.

    Sementara itu, selain kelewatan bayaran gaji, Utusan juga menghadapi kesulitan mereka yang menerima Skim Pemisahan Sukarela (VSS).

    Dalam satu memo yang berasingan pada 10 Mei menyatakan, pembayaran VSS itu akan mengalami kelewatan sehingga pada tarikh yang akan ditentukan, memandangkan syarikat tersebut gagal untuk memperoleh dana yang mencukupi.

    Malaysiakini telah cuba menghubungi Aziz untuk mendapatkan komen.

    Umno sebelum ini merupakan pemegang saham terbesar Utusan Melayu. Bagaimanapun, parti itu melepaskan penguasaannya selepas menjual sebahagian sahamnya kepada syarikat yang dimilki oleh Aziz pada Februrari.

    Umno kini hanya mempunyai 18.17 peratus saham dalam syarikat itu.

    Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, akhbar utama syarikat tersebut, Utusan Malaysia mengalami kesukaran apabila jumlah edaran akhbar tersebut merosot.

    Keadaan menjadi semakin parah apabila BN dan Umno dikalahkan pada 9 Mei 2018, dalam pilihan raya umum lalu.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih