malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Menantu Hadi senaraikan lima ahli 'kartel dedak'
Diterbitkan:  May 12, 2019 1:29 PM
Dikemaskini: 5:30 AM
ADS

Selepas kenyataan Zaharudin Muhammad megenai kumpulan di dalam PAS yang digelarkan sebagai ‘kartel dedak, menantu kepada Presiden PAS Abdul Hadi Awang itu hari ini menyenaraikan lima ahli dalam kumpulan yang dimaksudkannya.

Dalam kenyataan di Facebook, Zaharudin menyenaraikan lima ahli itu sebagai "Dr Hussam II (kepala no 1)", "Mr NT", "Mr KT", "Mr KH" dan individu yang kelima sebagai “semua dah tahu.”

“Yang nombor 5, sahabat yang bagus. Cuma terlalu ikut kawan- kawan dan jadi ‘front liner’ (barisan hadapan) bela kawan. Yang dia tahu tak banyak pun.

“Ramai-ramai ni, (individu) nombor 1 tu saja saya fokus. Sebab yang dia buat ‘Mr2’ (individu nombor 2) sampai ‘Mr5’ (individu nombor 5) tak tahu pun.

"Dia maha licik mengalahkan Hussam. Sapu kiri kanan. Dengan Azmin (Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali) pun rapat. Pernah cuba mendedak dengan Azmin tapi tak tahu dapat ke tidak," katanya.

Istilah "kartel dedak" yang digunakan Zaharudin dipercayai merujuk kepada kumpulan yang menerima dana daripada pihak tertentu.

Dipanggil parti beri penjelasan

Dalam kenyataan sama hari ini, Zaharudin berkata, terdapat juga ahli PAS yang terlibat dengan kumpulan itu di peringkat akar umbi.

Namun, kata Zaharudin, dia memilih untuk tidak menyalahkan mereka, kerana menurutnya, mereka tidak tahu apa-apa mengenai agenda kumpulan berkenaan.

“Misi saya mudah, dedah kartel dedak, selamatkan pimpinan dan parti daripada terpalit imej bohong dan dedak (tidak amanah dan berintegriti),” katanya.

 Zaharudin membuat kenyataan itu selepas Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata menantu Abdul Hadi itu akan dipanggil untuk mendapatkan penjelasan berhubung dakwaannya.

Dalam kenyataan sama hari ini, Zaharudin mengungkit mengenai isu yang melibatkan exco pemuda pusat PAS Nurul Islam Mohamed Yusoff yang pernah mendedahkan dakwaan berhubung pendirian Abdul Hadi mengenai hukum menerima wang daripada Umno.

Nurul Islam dikatakan mendakwa, Abdul Hadi Awang dan Majlis Syura Pas mengizinkan untuk mengambil wang daripada Umno.

“Masa kes Nurul dulu berita tersebar kata nak panggil juga, saya yang lebih-lebih tanya bila nak panggil dan bertemu.

“Sampai akhir memang tak ada pertemuan tapi ‘runner-runner kartel dedak’ sibuk kata, (saya) 'degil, dah dipanggil pimpinan pun masih berkeras',” kata Zaharuddin.

Lihat Komen