malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Jaga kelakuan, terima keputusan PRK - Polis Sabah
Diterbitkan:  May 11, 2019 8:17 PM
Dikemaskini: 12:17 PM
ADS

PRK SANDAKAN | Calon serta para penyokong parti bertanding pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Sandakan dinasihatkan menjaga kelakuan masing-masing termasuk ketika keputusan diumumkan malam ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Omar Mammah berkata semua pihak perlu menerima sebarang keputusan diumumkan dengan hati terbuka tanpa menimbulkan kekecohan hingga mengganggu ketenteraman awam.

"Saya minta semua penyokong mahupun calon terima keputusan dan jangan menunjukkan rasa tidak puas hati sehingga mengganggu masyarakat, hormati undang-undang sedia ada," katanya dalam satu sidang akhbar di pusat penjumlahan undi Dewan Aktiviti Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tiong Hua di Sandakan.

Dalam perkara berasingan, Omar berkata proses pengundian berjalan lancar sehingga semua saluran ditutup pada 5 petang tadi.

"Polis bertugas termasuk di jalan raya dan kesemua anggota menjalankan tugas dengan baik dalam mengawal keselamatan dan tiada kejadian tidak diingini berlaku," katanya.

Berhubung peratusan pengundi yang kurang keluar mengundi hari ini, Omar berkata perkara itu tidak mempunyai kaitan dengan faktor keselamatan.

"Proses pembuangan undi begitu rapi dan lancar dengan kehadiran polis yang begitu ramai ditugaskan secara teratur bagi mencegah kejadian jenayah sepanjang tempoh pengundian hari ini," katanya.

Setakat pukul 4 petang tadi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyatakan jumlah keluar mengundi ialah 51 peratus.

Sementara itu, Omar berkata pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung sebuah video tular kononnya terdapat cubaan parti tertentu menawarkan wang kepada pengundi.

"Dipercayai kejadian ini berlaku pada 12.06 pagi tadi, perkara ini kita siasat dan setelah selesai kita rujuk kepada pejabat timbalan pendakwa raya," katanya.

- Bernama

Lihat Komen