malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Laporan: RM1j wang anak yatim diguna bayar yuran guaman pembantu Najib
Diterbitkan:  May 11, 2019 2:25 PM
Dikemaskini: 6:25 AM
ADS

Sebanyak RM1 juta dana yang bertujuan untuk membantu anak-anak yatim didakwa telah disalahgunakan bagi membayar yuran guaman peguam yang juga pembantu kepada bekas perdana menteri Najib Razak pada tahun 2017.

Menurut laporan sebuah portal berita, ia membabitkan wang yang diamanahkan kepada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim).

"Menurut nota perbincangan tentang perbelanjaan kewangan Yapeim, wang itu disalurkan untuk membayar yuran guaman kepada peguam, yang merupakan penasihat kepada mantan perdana menteri Najib, serta pengarah Yapeim pada tahun 2017," lapor The Malaysian Insight, hari ini.

Portal itu melaporkan pembayaran itu dibuat secara berperingkat dan tanpa kelulusan lembaga pengarah Yapeim.

Kos itu dikatakan digunakan bagi membatalkan saman ke atas Yapeim yang difailkan Kemajuan Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Miskin (Pemangkin).

Pemangkin, yang merupakan anak syarikat Yapeim memfailkan saman itu dengan mendakwa bahawa yayasan berkenaan menyalahgunakan dana Pemangkin untuk menaja bekas menteri di jabatan perdana menteri ke Eropah, AS dan Australia.

"Saman yang difailkan oleh pengasas Pemangkin, Mohd Yusoff A Bakar dan Ahmad Fazil Hashim, pada Mac 2017 juga mendakwa bahawa peguam itu berhasrat untuk menutup yayasan itu, yang diletakkan di bawah Yapeim bagi menyembunyikan skandal berkenaan," lapor The Malaysian Insight.

Peguam berkenaan juga dikatakan merupakan salah seorang anggota lembaga pemegang amanah Yapeim dari tahun 2017 hingga 2019, dan pernah menjadi pengarah perancangan strategik di Jabatan Perdana Menteri.

Pengasas Pemangkin juga telah menyaman bekas menteri dan lima ahli lembaga pengarah Yapeim yang lain.

Sementara itu, mengulas perkara itu di Facebooknya, Najib menyifatkan laporan berkenaan sebagai propaganda jahat bagi memburukkan imejnya sempena pilihan raya kecil (PRK) Sandakan.

"Nama dan gambar Najib perlu digunakan padahal isu ini tidak ada kena mengena dengan Najib pun.

"Dan membayar kos guaman untuk Yapeim membela diri dan ahli-ahli lembaga mereka kerana disaman didakwa sebagai 'penyelewengan' pula.

"Itulah cara mereka. Bulan Ramadan atau tidak itu tak penting," kata Najib.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi Yapeim untuk mendapatkan ulasan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen