malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Menteri: Akta Hasutan mungkin mansuh tahun ini
ADS

WAWANCARA | Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Liew Vui Keong menjangkakan Akta Hasutan 1948 akan diganti atau dimansuhkan pada tahun ini.

Katanya walaupun Akta Hasutan terletak bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri, pihaknya bekerjasama dengan kementerian lain untuk menjayakannya.

Antaranya kata Liew, ialah P Waythamoorthy dan Mujahid Yusof yang masing-masing juga dilantik sebagai menteri di JPM.

Waythamoorthy bertanggungjawab dalam hal-hal perpaduan manakala Mujahid berkaitan Islam.

Kata Liew JPM juga bekerjasama dengan Gobind Singh Deo untuk mengusahakan beberapa alternatif.

Antaranya kata Liew melihat kemungkinan menggubal akta baru atau menjadikan sebahagian daripada peruntukan dalam Akta Hasutan dimasukkan ke Kanun Keseksaan.

Menjelaskan hal itu anggota parlimen Batu Sapi itu berkata tidak semestinya semua kenyataan boleh dianggap menghasut kerana kerajaan mahu memastikan wujud kebebasan dalam kalangan rakyat.

Terserah kepada PM

"Tetapi kami bukanlah membenarkan semua orang untuk membuat kenyataan khususnya yang mencemar nama raja-raja dan pemimpin,” katanya.

Pada masa sama Liew berkata kerajaan PH mengalu-alukan sebarang pandangan mahu pun kritikan membina untuk menjayakan usaha tersebut.

Liew berkata demikian kepada pemberita pada sidang media sempena ulang tahun pertama kerajaan PH baru-baru ini.

Pada 20 Mac lalu, Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin menegaskan Akta Hasutan masih wujud dan boleh diguna pakai sehinggalah ia dibentangkan di parlimen untuk dimansuhkan.

Bagaimanapun kata Muhyiddin, penggunaan akta berkenaan bergantung kepada keperluan dan kebijaksanaan pihak berkuasa dalam menangani sesuatu isu kritikal.

Dalam perkembangan lain, Liew berkata, PH komited memulihkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi setara dengan Semenanjung Malaysia.

"Jaminan terbaik yang boleh kita berikan adalah untuk kita dapatkan majoriti dua pertiga ... 148 anggota parlimen di pihak kita. Itu akan menjadikan ia lebih mudah," katanya.

Bagaimanapun, katanya, kaedah untuk mendapatkan jumlah itu terserah kepada Dr Mahathir Mohamad selaku perdana menteri.

Sementara itu, Liew juga berkata kerajaan masih menunggu Peguam Negara, Tommy Thomas, mengemas kini terma rujukan penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan campur tangan terbuka dalam badan kehakiman.

Bagaiamanapun ketika diminta mengesahkan sama ada Thomas sudah membawa perkara itu ke mesyuarat kabinet, Liew hanya menggelengkan kepala.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen