malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

PRK SANDAKAN l Menjelang hari pembuangan undi pilihan raya kecil Sandakan, esok, semakin ramai pemimpin kanan dari kedua-dua pihak kerajaan mahupun pembangkang mula turun gelanggang.

Malaysiakini difahamkan bahawa bekas perdana menteri Najib Razak, yang disertai oleh anggota Majlis Tertinggi Umno Lokman Adam dan Armand Azha Abu Hanifah, berkongsi penerbangan bersama dengan Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan Menteri Luar Saifuddin Abdullah.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Harun juga dilaporkan dalam penerbangan yang sama, kata sumber itu.

Pesawat MAS yang berlepas dari Kuala Lumpur sekitar 10.25 pagi itu, dijangka mendarat di Sandakan pada jam 1.25 petang ini.

Ketiga-tiga menteri berkenaan berkemungkinan besar akan menyertai ceramah terakhir DAP di Bandar Letat Jaya di Sandakan untuk menyokong calon DAP, Vivian Wong.

Sementara itu, Najib pula akan melawat pasaraya besar Giant di Bandar Utama, Sandakan, sekitar jam 4 petang hari ini, untuk membantu kempen calon PBS, Linda Tsen.

Ini adalah cubaan terakhir dari kedua-dua parti untuk meraih undi sebelum kempen pilihan raya melabuhkan tirainya pada tengah malam nanti.

Selain Wong dan Tsen, tiga calon Bebas turut bertanding dalam pilihan raya kecil ini, iaitu Hamzah Abdullah, Sulaiman Abdul Samat dan Chia Siew Yong.

Hari pengundian ditetapkan pada 11 Mei.

Lihat Komen