malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
ADS

ULASAN | Ada satu kelompongan dalam Student Union Committee (SUC) dalam Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) apabila saya melihat kepada senarai yang menganggotainya.

Saya tidak pasti bagaimana proses pemilihan ahlinya dan apakah merit kepada setiap lantikan yang dibuat. Apa yang pasti, SUC tidak meletakkan mahasiswa berada dalamnya. Inilah kelompongannya yang penting untuk segera diisi.

Saya sudah menyuarakan hal ini kepada beberapa anggota SUC secara langsung. Respons semasa yang saya dapat, pada mereka tiada keperluan lagi mahasiswa di situ. 

Tegas saya, SUC adalah tentang mahasiswa dalam universiti. Adalah suatu yang dangkal apabila membincangkan perkara yang berkaitan dengan mahasiswa, tetapi tidak dilibat sama mahasiswa dalamnya.

Bagaimana KPM boleh katakan mahu mewujudkan penglibatan mahasiswa dalam keputusan polisi dalam universiti jika seawal pembentukan SUC semangat ini tidak diambil sekali?

Pentingnya mahasiswa dalam SUC

Jawapan saya mudah; SUC adalah tentang mahasiswa. SUC sangat memberi kesan besar kepada struktur yang sedia ada terutamanya hal ehwal yang berkaitan dengan mahasiswa.

Saya percaya masih banyak lagi perbincangan yang perlu diteliti dan diperhalusi terutamanya dalam soal autonomi universiti, autonomi mahasiswa, pengurusan kewangan, kebebasan bersuara, ruang mengurus tadbir hal ehwal mahasiswa serta ruang semak dan imbang – tidak terhad kepada soal penglibatan dalam politik semata-mata.

Perlu wujud sinergi yang baik dan berterusan antara permintaan mahasiswa dan keperluan pentadbiran – antara semangat perubahan dengan realiti keadaan. Tidak meletakkan mahasiswa dalamnya hanya memutuskan hubungan salah satu pemegang taruh terpenting dalam proses pembentukan SUC di universiti.

Saya raikan usaha SUC untuk turun bertemu mahasiswa melalui pertemuan dengan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di beberapa IPT. Cuma pertemuan itu tidaklah bersifat berterusan dan tidak mengembangkan proses kefahaman mahasiswa terhadap kematangan idea SUC itu sendiri.

Juga pertemuan sebegini tidak menjadikan mahasiswa pemegang taruh penting dalam pemutusan polisi. Tapi hanya jadi kumpulan yang diambil suaranya sahaja – maka apa bezanya dengan sebelum ini?

Adam Adli dilantik masuk ke SUC

Saya dapat makluman berkenaan pelantikan Adam Adli Abd Halim dan Hishamuddin Rais ke dalam SUC atas faktor lantikan menteri. Saya tidak berminat nak mengulas tentang Hishamuddin Rais.

Saya cuma mahu sentuh keberadaan Adam Adli dalam SUC. Tambah lagi Adam Adli boleh saya sebut sebagai bekas aktivis mahasiswa yang paling dekat dengan konteks dan nuansa universiti semasa.

Ada beberapa persoalan penting yang perlu dinilai dan ditimbang tara. Ketika saya mencadangkan kepada salah seorang ahli SUC untuk libatkan sama mahasiswa aktif dalam kampus atau dalam bahasa lainnya mahasiswa yang masih dalam pengajian yang boleh mewakili mahasiswa, jawab beliau:

“Adam Adli tahun akhir di UPSI.”

Andaian saya, keberadaan Adam Adli mewakili pandangan mahasiswa dalam SUC.

Apabila AUKU 1971 dimansuhkan, SUC yang dibina menjadi sebahagian daripada sistem yang mengisi kelompongan yang ditinggalkan Auku 1971.

Maka adalah penting segala perbincangan di peringkat SUC turun ke akar umbi dan dibahaskan di peringkat mahasiswa kerana – saya tekankan sekali lagi – SUC adalah tentang mahasiswa.

Cuma soalnya – pertama; bagaimana Adam Adli mahu memastikan perbincangan di peringkat SUC tidak terapung hanya dalam mesyuarat? Tanpa perlu menunggu soalan pertama terjawab – kedua; adakah Adam Adli merupakan pimpinan dalam mana-mana gerakan mahasiswa yang mempunyai penggerak di kampus-kampus seluruh Malaysia yang boleh membantu memudahkan proses membumikan idea berlaku?

Mengambil masa menjawab soalan kedua – ketiga; adakah cukup hanya Adam Adli memenuhi kerusi mewakili mahasiswa sedangkan jumlah mahasiswa seluruh Malaysia? Belum lagi kita ambil kira jenis universiti.

Tiga perkara kita kena sedar tentang apa yang sedang berlaku dalam kalangan mahasiswa. Pertama; mahasiswa tidak biasa dengan idea SUC sebab mereka sudah diputuskan daripada identiti dan sejarah mahasiswa.

Kedua; sangat perlahan wacana dan perbincangan tentang SUC di peringkat mahasiswa sendiri dan lokaliti universiti. Ketiga; perancangan dan garis masa pelaksanaan SUC tidak bergerak selari dengan proses kerja penyuburan idea di peringkat mahasiswa.

Kita kena sedar bahawa proses reformasi sistem yang sedia ada ini juga perlu seiring kepada proses reformasi budaya. Keduanya memerlukan sinergi yang berterusan tanpa meninggalkan salah satu atau mengutamakan salah satu daripada kedua-duanya.

Segera tempatkan mahasiswa

Mewakili mahasiswa dalam SUC bukanlah hanya semata kerjanya datang ke mesyuarat dan berbincang. Juga bukanlah semata hanya melaksanakan bengkel di peringkat pusat, kumpulkan pandangan kemudian cukup sampai di situ sahaja.

Tetapi proses membumikan ke peringkat akar umbi melalui perbincangan, pertemuan dan perbahasan yang berterusan perlu digiatkan. Itulah kerja utamanya. Daripada situ, proses reformasi sistem bergerak seiring dengan reformasi budaya kampus.

Maka menjadi satu urgensi di peringkat KPM untuk melantik mahasiswa yang masih berada dalam pengajian serta memegang pimpinan di dalam organisasi yang mempunyai cawangannya di kampus seluruh Malaysia.

Penting supaya konteks pandangannya sesuai dengan nuansa semasa pengajiannya, organisasinya secara serius mampu membawanya mengikut lokaliti mereka dan mencipta model SUC mengikut kerangka warga kampusnya dan semangat yang KPM mahukan.

Libat sama bukan hanya organisasi, tapi boleh juga daripada MPPK untuk turut serta. Kalau KPM risaukan tentang bajet, organisasi mahasiswa punyai dana mereka sendiri yang boleh digunakan.

Saya fikir, soal duit tidaklah sepatutnya menjadi isu utama kerana idea itu lebih mahal harganya. Kalau KPM risau terlalu ramai mahasiswa berada di dalam SUC, KPM boleh mula memilih mereka yang sesuai berada dalamnya dan memindahkan mana-mana mahasiswa ke posisi yang lebih sesuai dan tepat dengan perjuangan mereka.

Sebagai contoh; pindahkan Adam Adli ke PTPTN bersama Wan Saiful Wan Jan. Adam boleh bantu Wan Saiful uruskan hal PTPTN yang bagai tak nampak penyelesaiannya.


USAID ASMADI ialah pengerusi Gerakan Reformasi IPT merangkap presiden Persatuan Belia Harmoni Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen