malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pelucutan hak: Menjawab soalan sahabat Najib
Diterbitkan:  May 9, 2019 3:13 PM
Dikemaskini: 12:28 PM
ADS

Dalam hantaran Facebook semalam, Najib Razak berkongsi soalan yang dikatakan daripada seorang sahabat berkenaan notis pelucutan hak terhadapnya, isterinya Rosmah Mansor, tiga anak mereka dan 13 individu serta syarikat.

Bekas perdana menteri itu berkata soalan itu memeningkan dan beliau tidak dapat menjawabnya.

"Ada seorang sahabat yang hantar soalan ini kepada saya tapi saya tak tahu bagaimana untuk jawab.

"(Soalannya berbunyi) DSN (Datuk Seri Najib) telah didakwa mahkamah menerima wang RM2.6b 1MDB. DSN telah didakwa mahkamah memulangkan wang RM2.6b 1MDB. Tetapi PH (Pakatan Harapan) nak lucut hak harta DSN dan keluarga yang PH tuduh dibeli dengan wang RM2.6b 1MDB yang telah dipulangkan.

"Macam mana ni?"

 

Malaysiakini cuba membantu sahabat Najib tersebut dan juga pihak lain untuk lebih memahami isu yang diperkatakan itu.

Apakah notis pelucutan hak?

Jabatan Peguam Negara semalam memfailkan notis usul berhubung pelucutan hak terhadap ratusan barangan yang dirampas daripada Najib, Rosmah, dan 16 individu lain termasuk anak mereka Riza Aziz, Nor Ashman, dan Nooryana Najwa, serta ibu Jho Low, Goh Gaik Ewe.

Ia bagi merampas lebih RM18 juta dalam beberapa akaun bank, wang tunai RM537,000 dalam pelbagai mata wang, 263 beg tangan mewah, 14 jam tangan, 27 pasang kasut, 27 buah kenderaan model Nissan Urvan, dan rumah Goh di Pulau Pinang.

Notis usul sama turut difailkan terhadap Obyu Holdings Sdn Bhd, yang dikaitkan dengan rakan Najib, Bustari Yusof.

Adakah barangan itu dibeli dengan wang RM2.6 bilion?

Barangan tersebut disita untuk siasatan terhadap skandal 1MDB, tetapi pihak berkuasa belum mengesahkan sama ada ia berkaitan dengan wang RM2.6 bilion.

Bagaimanapun, harus dimaklumkan pertuduhan terhadap Najib bukan saja berkaitan isu RM2.6 bilion.

Dalam pertuduhan berkaitan 1MDB terhadapnya, Najib juga didakwa menyalahgunakan kuasa dan pengaruh dalam kerajaan dan 1MDB untuk mendapatkan habuan berjumlah RM60 juta, RM90.9 juta dan RM49.9 juta - secara berasingan - sebelum dan selepas beliau menerima dan "mengembalikan" wang RM2.6 bilion.

Adakah Najib menggunakan dana berkaitan 1MDB?

Skandal RM2.6 bilion merujuk kepada AS$681 juta yang dipindah ke akaun bank peribadi Najib pada Mac dan April 2013.

Nilai jumlah tersebut pada masa itu ialah RM2.08 bilion. Bagaimanapun ketika skandal itu muncul kali pertama pada 2015, kadar tukaran mata wang menunjukkan nilainya pada RM2.6 bilion.

Najib memulangkan AS$620 juta pada Ogos 2013, yang kemudiannya didakwa digunakan untuk, antara lain, rantai dan loket berlian merah jambu 22 karat untuk "isteri MO1".

Walaupun hampir seluruh perhatian dihalakan sekitar AS$681 juta pada 2013, dana berkaitan 1MDB didakwa masuk ke akaun bank Najib sejak 2011.

Antara Februari 2011 dan Ogos 2012, Najib menerima sekurang-kurangnya AS$120 juta daripada Putera Faisal bin Turkey - dana yang berasal daripada urusniaga 1MDB-Petrosaudi.

Antara Januari dan November 2012, Najib juga menerima sekurang-kurangnya AS$170 juta daripada Blackstone Asia Real Estate Partners - dana yang berasal daripada bon berkaitan aset tenaga 1MDB.

antara Mac dan April 2013 barulah AS$681 juta masuk ke akaun Najib, daripada Tanore Finance Corporation.

Malaysiakini difahamkan ada kira-kira 355 transaksi melibatkan akaun ini sejak ia dibuka pada 2011. Antara ketika AS$681 juta masuk ke akaun pada Mac 2013 dan AS$620 juta dipulangkan pada Ogos 2013, sekurang-kurangnya RM653 juta telah digunakan.

Bagaimanapun sehingga hari ini, pendakwaan 1MDB terhadap Najib bertumpu kepada lima penerima, iaitu Umno (RM20 juta); Umno Batu Kawan (RM100,000); Lim Soo Peng (RM246,000); ORB Solutions Sdn Bhd (RM2 Juta) dan Semarak Consortium Sdn Bhd (RM303,000).

Apa kata Najib berkenaan barangan yang disita?

Najib mendakwa polis mengambil langkah pelucutan hak terhadap aset dengan jumlah keseluruhan RM711 juta itu kerana pemulangan barangan akan membuktikan dirinya tidak bersalah.

Beliau berkata tempoh maksimum setahun untuk penyitaan akan tamat dalam masa sepuluh hari, iaitu pada 18 Mei, bermakna polis perlu memulangkan kembali barangan itu.

Najib sekali lagi mengatakan barangan itu ialah hadiah dan derma, antaranya daripada tamu kehormat luar negara.

Lihat Komen