malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kerajaan tak perlu 'berkokok' untuk isytihar kejayaan PH, kata PM
ADS

WAWANCARA| Banyak pencapaian kerajaan PH dicapai meskipun janji-janji pilihan raya setahun lalu belum dapat dipenuhi semuanya, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dalam wawancara khas bersama media sempena ulang tahun pertama pentadbiran PH hari ini, Mahathir berkata dalam situasi negara yang begitu mencabar, gabungan parti pemerintah itu tetap menunjukkan prestasi yang baik.

"Kami tidak akan menjerit sepanjang masa, tetapi ini pencapaiannya," katanya kepada wartawan di pejabatnya di Putrajaya pada Isnin.

"Saya fikir kita buat dengan baik memandangkan keadaan (negara ketika ini)," kata Mahathir, merujuk kepada hutang negara yang bernilai RM1 trilion dan kontrak projek mega yang dikaji semula.

Mengulas lanjut, Mahathir berkata selepas mengambil alih Putrajaya, PH mendapati terdapat masalah lebih besar daripada apa yang disangkakan sebelum ini.

Hal itu, katanya, berlaku kerana PH - sebelum memenangi PRU ke-14 pada 9 Mei tahun lalu - tidak mendapat matlumat yang lengkap.

Ditanya mengenai pencapaian PH, Mahathir berkata ia adalah gabungan parti pemerintah itu sendiri yang masih memilih beliau sebagai pemimpinnya.

"Pertama, tiada ada siapa yang jangkakan kita akan menang. Mereka kata gabungan ini (PH) rapuh dan kita akan hancur dengan cepat.

"Tetapi itu tidak berlaku, kami telah bersama-sama, bekerja bersama dan kami sangat bersatu. Kami mempunyai satu objektif, iaitu untuk membawa Malaysia kembali menjadi apa yang kita kenali sebelum ini.

"Kabinet yang kami bentuk telah melakukan tugas dengan baik, walaupun banyak anggota kabinet yang sangat baru," katanya sambil mengakui terdapat masalah telah timbul apabila barisan kabinetnya itu masih berfikiran pembangkang.

"Negara ini, saya fikir, masih berasa gembira dengan perubahan kerajaan. Perubahan kerajaan adalah sesuatu yang rakyat mahu dan kita telah mencapai matlamat itu," kata Mahathir.

Menurut Mahathir, PH juga telah mencapai matlamatnya untuk memerangi rasuah dalam kerajaan.

"Kami telah menegaskan bahawa undang-undang yang ditegakkan dan kami menerima pemisahan kuasa, tidak ada peraturan undang-undang sebelum ini dan orang ramai boleh ditahan atas tuduhan yang mencurigakan. Sekarang, apa-apa tuduhan ke mahkamah," katanya.

Mahathir juga berkata keupayaan kerajaan untuk menjimatkan lebih daripada RM30 bilion dalam kos pembinaan selepas rundingan semula projek Rangkaian Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan pemulihan projek Bandar Malaysia adalah pencapaian terbesar PH.

Bagaimanapun, Mahathir berkata PH tidak dapat memenuhi janji-janji pilihan rayanya untuk menghapuskan tol di lebuh raya kerana mengetahui implikasi pampasan yang perlu diberikan kepada pemegang konsesi hanya selepas mengambil alih kerajaan.

"Untuk Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) sahaja, kita perlu membayar RM30 bilion (untuk membeli lebuh raya). Persoalannya, adakah kita akan menggunakan wang itu hanya untuknya atau ada yang lebih penting?" soal Mahathir.

"Sekiranya kita hendak membina lebuh raya ... sektor swasta tidak akan melabur. Ini akan meningkatkan masalah kewangan kita," katanya.

Difahamkan kerajaan perlu mengeluarkan RM130 bilion hingga RM145 bilion untuk mengambil alih semua 29 lebuh raya bertol di negara ini dan juga memerlukan sehingga RM2.5 bilion untuk mengekalkan lebuh raya sedia ada untuk setiap tahun.

Putrajaya kini sedang berunding dengan Gamuda Bhd untuk memperoleh konsesi bagi empat lebuh raya.

Lebuh raya tersebut ialah Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Sistem Lebuhraya Trafik KL Barat (Sprint Expressway), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong Smart.

Dalam temu bual yang sama, Mahathir juga mengakui bahawa kerajaannya gagal memansuhkan hukuman mati.

"Kita perlu mengkaji bagaimana kita akan melaksanakan hukuman mati, sebagai contoh," katanya.

Kerajaan sebelum ini memutuskan untuk menghapuskan hukuman mati pada Oktober 2018 dan merancang untuk meminda undang-undang yang berkaitan di Parlimen pada Mac tahun ini.

Bagaimanapun, pada awal bulan ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong, berkata kerajaan masih dalam perbincangan mengenainya dan akan putuskan dalam masa terdekat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen