malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Sasaran hak asasi manusia belum dicapai di Malaysia - HRW
ADS

Esok genap setahun pentadbiran Pakatan Harapan (PH), namun masih ada yang beranggapan kerajaan baru itu belum dapat membuktikan kemampuannya mentadbir negara.

Timbalan Pengarah, Human Rights Watch (HRW) Asia, Phil Robertson berkata kerajaan gagal melaksakan pembaharuan institusi dan undang-undang bagi pengukuhan hak asasi.

“Selepas setahun kerajaan Pakatan Harapan (PH) berkuasa dengan ikrar menjadikan rekod hak asasi Malaysia dihormati seluruh dunia, PH masih belum mencapainya.

“Malah, tidak banyak yang dilakukan kerajaan untuk memenuhi janji-janji ini, apatah lagi menarik balik pengumuman tentang pembaharuan hak yang dibuat,” kata Phil dalam sidang media bersama Amnesty International (AI) di Petaling Jaya, Hari ini.

Menurut Pengarah Eksekutif AI Shamini Darshini Kaliemuthu, kerajaan juga tidak mempunyai hala tuju jelas dalam pembaharuan yang hendak dilakukan.

“Kita melihat tidak ada hala tuju jelas ke arah pembaharuan. Kita perlu untuk melihat rancangan yang jelas diutarakan dan dalam semangat mempromosi dan melindungi hak asasi di negara ini,” katanya.

Shamini berkata kerajaan juga takut untuk melakukan pembaharuan sejak ia menarik balik keputusan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd).

“Kita dengar komitmen untuk mansuhkan hukuman mati dan juga meratifikasi perjanjian antarabangsa mula-mula dahulu, tetapi setelah setahun tidak banyak kemajuan dicapai. Kita mahukan pembaharuan yang kekal," kata Shamini.

Pandangan itu turut diakui Phil, lebih-lebih lagi apabila Malaysia menarik balik keputusan untuk meratifikasi Statut Rom.

“Kerajaan takut hendak bergerak ke depan sejak Icerd dan bila Malaysia kata akan tanda tangan Statut Rom kami sangat gembira, ibu pejabat kami di New York sangat teruja tetapi di saat-saat akhir mereka tarik diri dan kami bingung. Apa yang berlaku, lepas satu, satu,” tambah Phil tanpa menghuraikan dengan lebih lanjut.

Putrajaya membatalkan hasrat meratifikasi ICERD selepas tekanan kumpulan hak Melayu, kemudian menarik balik hasrat meratifikasi Statut Rom selepas bantahan orang ramai, termasuk melalui perhimpunan yang disokong Umno dan PAS.

Mengulas lanjut, Phill berkata hari ini perlu mempercepatkan pembaharuan hak asasi manusia seperti yang dinyatakan dalam manifesto pilihan rayanya.

"Kerajaan harus menyedari bahawa lama mereka mahu lakukan pembaharuan ia akan memberi kesan kepada Malaysia," katanya.

Phill juga berkata tempoh setahun pentadbiran PH hari ini bukanlah waktu yang singkat.

"Momentum politik masih ada dan rakyat masih mengharapkan perubahan.

"Dan sekarang PH telah melepasi tempoh satu tahun, dan belum terlambat untuk melakukan perubahan. Tetapi kita tahu dalam satu atau dua tahun lagi, kita akan bercakap tentang masa depan dalam pilihan raya akan datang," katanya.

Justeru itu, Shamini menggesa PH untuk berpegang teguh kepada komitmennya.

“Kami kecewa dengan pusingan U yang dibuat kerajaan. Mereka patut lebih teguh dan mereka perlu mempercepatkan pembaharuan ini tetapi usaha memperkenalkan hak asasi masih perlahan,” katanya.

PH menangi pilihan raya umum ke-14, 9 Mei tahun lalu dan menewaskan BN selepas memeritah selama 60 tahun.

Dalam manifestonya, PH berjanji akan melaksanakan pembaharuan institusi dan undang-undang seperti penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), pemansuhan hukuman mati dan Akta Hasutan.

Bagaimanapun, sehingga kini, IPCMC masih jadi topik hangat dengan polis, Akta Hasutan masih berkuat kuasa dan hukuman mati tidak dimansuhkan sepenuhnya.

Lihat Komen