malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pegawai KWAP cuba hadkan pinjaman kepada RM1 bilion
ADS

KES NAJIB | Ketika menjadi pegawai Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), Amirul Imran Ahmat berkata beliau cuba mengehadkan pinjaman yang diberi kepada SRC International Sdn Bhd kepada RM1 bilion pada 2011.

Bekas naib presiden naib presiden (Jabatan Pendapatan Tetap) KWAP itu mendedahkan perkara itu ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela Harvinderjit Singh.

Amirul ditugaskan oleh orang atasannya untuk menyediakan kertas untuk pertimbangan panel pelaburan KWAP.

Harvinderjit membangkitkan kembali mesyuarat antara eksekutif 1MDB dan KWAP pada 20 Jun 2011.

1MDB adalah pemilik SRC International ketika itu dan mahu membuat pinjaman berjumlah RM3.95 bilion daripada KWAP.

Turut menyertai delegasi 1MDB pada masa itu ialah ketua pegawai kewangan Terrence Geh, penasihat perundangan Jasmine Loo dan CEO SRC International Nik Faisal Ariff Kamil.

Amirul berkata dia diberi penerangan umum berkenaan pelaburan yang akan dilakukan SRC International.

Susulan itu, Amirul berkata dia membuat syor untuk meminjamkan RM1 bilion dan menetapkan terma berbeza daripada apa yang dicadangkan SRC International.

Harvinderjit kemudian mengajukan bahawa pinjaman itu boleh diluluskan secara tergesa-gesa, tetapi ia tidak berlaku.

Saksi setuju dengan kenyataan itu.

Dia juga setuju bahawa panel pelaburan KWAP membuat penelitian terperinci terhadap perkara itu, tetapi akhirnya meluluskan pinjaman berjumlah RM2 bilion setelah mendapat jaminan kerajaan.

Minggu lalu, mahkamah diberitahu bahawa RM2 bilion dipindahkan ke akaun SRC International pada 29 Ogos 2011.

KWAP setuju dengan pinjaman dengan jaminan kerajaan kedua kepada SRC International berjumlah RM2 bilion. Wang itu dipindah pada 3 Mac 2012.

Bekas perdana menteri Najib Razak kini dibicarakan atas dakwaan menerima RM42 juta sebagai pertukaran agar kerajaan menjamin pinjaman RM4 bilion daripada KWAP.

Lihat Komen