malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
M’sia sudah dapat balik RM1.5 bilion dana 1MDB
Diterbitkan:  May 7, 2019 1:56 PM
Dikemaskini: 6:38 AM
ADS

Setakat hari ini, Malaysia telah berjaya memperoleh semula RM1.335 bilion dana 1MDB yang didakwa disalah guna 1MDB untuk memiliki aset-aset di Amerika Syarikat (AS).

Jumlah itu tidak termasuk RM152.3 juta daripada dana yang dihantar pulang dari Singapura, menjadikan jumlah terkumpul kini hampir RM1.5 bilion.

Menurut Peguam Negara Tommy Thomas, selain penjualan kapal layar mewah Equanimity, kerajaan AS dan Singapura telah memulangkan sebahagian wang hasil daripada penyitaan aset-aset berkaitan 1MDB.

Sebahagian lagi wang pula sedang dalam proses untuk dipulangkan semula.

Berikut ialah senarai dana yang dipulangkan:

  • Kapal layar mewah Equanimity: AS$126 juta (RM522.6 juta) - dijual oleh Malaysia
  • Red Granite Pictures: AS$57 juta (RM236.4 juta) - dipulangkan oleh AS
  • Hotel Parklane, Manhattan: AS$139 juta (RM576.5 juta)- akan dipulangkan oleh AS
  • Akaun-akaun Singapura: AS$50 juta (RM152.3 juta) - dipulangkan oleh Singapura

“Oleh itu, Malaysia telah mendapatkan semula AS$322 juta (kira-kira RM1.3 bilion) nilaian daripada aset-aset 1MDB semenjak siasatan ke atas 1MDB bermula secara efektifnya selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14 pada Mei 2018.

“Suatu jumlah lain sebanyak SG$50 juta daripada dana yang berkaitan dengan 1MDB telah diarahkan oleh mahkamah di Singapura untuk dihantar pulang.

“Sejumlah SG$15 juta telah dikreditkan ke dalam akaun aset pemulihan 1MDB antara September tahun lepas sehingga Mac tahun ini. Baki sebanyak SG$35 juta akan dikreditkan tidak lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan.

Thomas turut mengesahkan AS telah memulangkan pembayaran pertama melibatkan AS$57 juta hasil sitaan sebuah syarikat pembikinan filem Red Granite Pictures setelah ditolak dengan kos sebanyak AS$3 juta untuk penyiasatan, penyitaan, perbicaraan dan penyelesaian kes rumah penerbitan itu dan Equanimity.

Jumlah itu daripada penyelesaian AS$60 juta antara Red Granite Pictures dengan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) pada Mac 2018.

Selain itu, Thomas memaklumkan DOJ kini dalam proese memulangkan AS$139 juta hasil penjualan kepentingan Jho Low dalam Hotel Park Lane di Manhattan.

“Kesemua kos yang telah dibelanjakan oleh DOJ dan FBI untuk menyiasat, menyita, membicarakan dan mencapai penyelesaian bagi aset Park Lane ini akan ditolak daripada wang penyelesaian tersebut.

"Bakinya dijangka akan dikreditkan ke dalam akaun pemulihan aset 1MDB dalam masa yang terdekat,” katanya.

Selain itu, beliau turut menyebut tentang penjualan Equanimiti pada harga AS$126 juta oleh Mahkamah Admiralti Malaysia bulan lalu.

Kapal pesiar mewah itu dikatakan dibeli Jho Low menggunakan wang diselewengkan daripada 1MDB. Ia disita di pesisir pantai Bali oleh pihak berkuasa Indonesia dengan kerjasama Biro Penyiasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI), sebelum dipulangkan ke Malaysia.

“Pemulihan aset ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa bantuan dan kerjasama yang baik oleh pihak berkuasa Malaysia dengan rakan-rakan sejawat di AS dan Singapura.

“Kami ingin menyatakan rasa terima kasih kami kepada mereka. Usaha untuk mendapatkan semula aset 1MDB di seluruh dunia masih berjalan, dan Malaysia yakin akan lebih banyak wang bakal didapatkan semula dalam bulan-bulan yang mendatang,” katanya lagi.

Jumlah yang telah dipulangkan dari AS itu adalah sebahagian daripada AS$1.7 bilion (RM7.05 bilion) nilai aset yang cuba dipulihkan DOJ.

Bagaimanapun jumlah itu masih kurang separuh daripada anggaran AS$4.5 bilion (RM18.7 bilion) yang didakwa telah diseleweng. 

Lihat Komen