malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Letupan, tembakan gegar Selatan Thai di hari pertama Ramadan
ADS

GLOBAL | Insiden letupan dan tembakan berlaku di wilayah bergolak selatan Thailand pada hari pertama umat Islam di wilayah ini menyambut Ramadan yang bermula hari ini.

Ketika umat Islam di selatan Thailand membuat persediaan menyambut hari pertama Ramadan, satu letupan bom berlaku di Songkhla dan mencederakan lima anggota polis yang sedang bertugas manakala satu lagi insiden berbalas tembakan antara pasukan keselamatan Thailand dan anggota kumpulan bersenjata berlaku di Pattani.

Dalam kejadian pertama, lima anggota polis cedera dalam insiden letupan bom di Kg Khuan Ran, Daerah Tepa, Songkhla.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah malam (waktu tempatan), kelima-lima anggota polis itu dalam perjalanan pulang selepas membuat pemeriksaan di rumah penolong ketua kampung yang ditembak oleh sekumpulan individu tidak dikenali.

Timbalan Ketua Polis Wilayah Songkhla Kol Pol Serksan Churansrit berkata bom buatan sendiri seberat 15 kilogram dipasang dalam dua tong memasak dan diaktifkan dengan menggunakan walkie-talkie.

“Tiga daripada lima anggota polis mengalami kecederaan parah dan kini menerima rawatan di Hospital Songkhla,” katanya kepada pemberita hari ini.

Sementara itu, di Pattani, insiden berbalas tembakan berlaku antara pasukan keselamatan Thailand dan kumpulan bersenjata di Kg Mananjung, Tung Yang Daeng kira-kira 10 pagi (waktu tempatan) hari ini.

Namun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Ketua Tentera Bahagian Keempat, Leftenan Jeneral Pornsak Poonsawat mengarahkan semua pasukan keselamatan sentiasa bersiap siaga untuk menggempur dan menjejaki kumpulan bersenjata.

Beliau berkata kejadian berbalas tembakan itu dipercayai berpunca daripada kejadian seorang anggota bersenjata ditembak mati di Nong Chik, Pattani pada 3 Mei lepas.

“Kami percaya anggota kumpulan bersenjata itu telah mengalami kecederaan dalam kejadian berbalas tembakan hari ini kerana menemui kesan darah.

“Kami akan mempergiatkan usaha menjejaki kumpulan itu,” katanya.

-Bernama

Lihat Komen