malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Peguam Najib asak saksi dengan soalan Global Mail Resources
ADS

KES NAJIB | Pasukan pembelaan Najib Razak hari ini mengasak pengurus bank Norhayati Mohd Yunus berkenaan pemindahan RM35 juta daripada Ihsan Perdana Sdn Bhd ke sebuah syarikat bernama Mail Global Resources Sdn Bhd pada 2015.

Ihsan Perdana ialah bahagian tanggungjawab sosial korporat untuk SRC International Sdn Bhd. Setakat ini, pihak pendakwa telah menunjukkan ia didanai oleh SRC International.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu yang Ihsan Perdana memberikan wang itu dalam masa satu hari melalui tujuh cek - setiap satu bernilai RM5 juta - kepada Mail Global Resources.

Menurut penghujahan peguam bela Farhan Read, Kesemua cek dikeluarkan pada 13 Januari 2015.

Norhayati ialah pengurus Affin Bank cawangan The Curve Petaling Jaya, yang menempatkan akaun Ihsan Perdana.

Pada satu ketika, Farhan mula bertanya kepada Norhayati sama ada dia pernah disiasat sebelum atau selepas pilihan raya umum tahun lalu.

Farhan bertanya bagaimana dia boleh ingat tentang tujuh cek yang dikeluarkan untuk Mail Global Resources itu.

Norhayati menjawab dia ingat tentang syarikat itu susulan satu permintaan dokumen oleh Bank Negara sebelum PRU ke-14.

Katanya lagi, ketika memeriksa dokumen selepas permintaan itu, dia sedar sejumlah besar wang telah dipindahkan ke Mail Global Resources.

Ketika ditanya Farhan sama ada Bank Negara atau SPRM ada bertanyakan soalan khusus tentang Global Mail Resources, Norhayati menjawab tidak.

Dia juga berkatabak tiada sebarang urus niaga dengan Mail Global Resources selepas PRU ke-14.

Farhan kemudian bertanya tentang sekeping lagi cek berjumlah RM53 juta yang dikeluarkan oleh Ihsan Perdana kepada Mail Global Resources.

Untuk soalan itu, Norhayati berkata SPRM tidak bertanya tentang perkara itu kepadanya.

Muhammad Shafee Abdullah

Sementara itu, ketua pasukan pembelaan Muhammad Shafee Abdullah berkata strategi pihak pembelaan adalah untuk menentukan sama ada sebahagian saksi telah dipujuk untuk menukar keterangan mereka selepas PRU lalu.

"Kami tidak terkejut jika perkara seperti itu berlaku. Sebab itu kami terus bertanya.

"Jika ada saksi yang memberi keterangan yang berbeza secara drastik dengan apa yang kami jangka mereka akan katakan, maka ada sebab untuk rasa khuatir," katanya lagi.

Ketika ditanya bagaimana pasukan pembelaan akan membuktikannya, Shafee mendakwa ada cara untuk membuatkan saksi menunjukkan perubahan keterangan mereka melalui kaedah pemeriksaan balas.

"Ada cara. Kami tidak boleh beritahu anda. Ia satu kaedah pemeriksaan balas," katanya lagi.

Lihat Komen