malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Seorang 'cool', seorang lagi marah-marah - Annuar
Diterbitkan:  May 6, 2019 6:55 PM
Dikemaskini: 10:55 AM
ADS

Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa mengambil maklum dua tindakan yang menggambarkan sifat berlawanan pada hari pertama umat Islam menyambut ibadah puasa.

Walaupun tidak menyebut nama, MP Ketereh dipercayai merujuk kepada kritikan terbaru Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad terhadap Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Pada hantaran di media sosial, Annur turut menyertakan mesej pewaris takhta Johor itu yang menggesa umat Islam menyambut Ramadan dengan hati yang suci.

"Seorang 'cool' dan menyambut Ramadan dengan menyeru umat Islam menjalankan ibadah puasa.

"Seorang lagi menyerang dan menghamburkan kata-kata penghinaan pada hari pertama Ramadan... dua cara berbeza bagaimana orang Islam menyambut Ramadan," katanya pada ciapan di Twitter.

Tanpa menyebut nama, Annuar juga mendakwa terdapat beberapa pemimpin Melayu yang terperangkap dalam peperangan ideologi yang dikendalikan oleh pihak tertentu.

"Mereka menyuarakan naratif DAP lebih daripada DAP sendiri, dengan kononnya meminta kami menolak politik 3R - bangsa (race), agama (religion) dan raja-raja (royalty)," katanya.

Pemimpin-pemimpin DAP telah berulang kali menafikan parti itu menentang sultan atau cuba menggugat kedudukan orang Melayu dan Islam.

Dalam ciapan terdahulu, Annuar mendedahkan bahawa dia telah dibanjiri dengan panggilan telefon dari media dan permintaan menerusi Twitter mencari komentarnya mengenai istilah "stupid" (bodoh).

"Pada masa lalu, amalan biasa kata-kata sedemikian datangnya daripada pembangkang, tetapi sekarang (datangnya) daripada kerajaan. Maaflah, saya enggan mengulas," katanya.

Annuar juga berkata amalan berpuasa bukan sahaja menahan diri daripada makan dan minum.

"Tetapi juga untuk berhenti bertengkar, marah, melempar penghinaan, memfitnah dan semua perkara yang tidak sepatutnya serta memohon keampunan Ilahi," tambahnya.

Pada wawancara khas bersama media petang ini, Mahathir berkata Tunku Ismail sepatutnya berhenti mengulas mengenai perkara-perkara yang berada di luar pengetahuannya.

Tanpa berselindung, beliau juga menyifatkan pewaris takhta Johor itu sebagai “stupid little boy" (budak bodoh).

Mahathir diminta mengulas mengenai kenyataan Tunku Ismail bahawa perbuatan baik ayahandanya, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar seperti mengurniakan tanah kepada rakyat dan kerajaan, tidak ditonjolkan.

Kenyataan putera mahkota itu datang selepas suatu laporan mengenai plot tanah persekutuan yang diperuntukkan untuk Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura (RTS) telah dipindahkan ke atas nama Sultan Johor.

Sultan Ibrahim sejak itu bertitah baginda bersedia untuk menyerahkan kembali tanah berkenaan tanpa kos.

Lihat Komen