malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Didakwa seleweng duit zakat, Iksim berkeras enggan diaudit MAIWP
Diterbitkan:  May 6, 2019 11:38 AM
Dikemaskini: 5:42 AM
ADS

Institut Kajian Strategik Islam (Iksim) menolak audit Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) atas alasan badan itu tidak berada bawah bidang kuasanya.

Iksim yang ditubuhkan semasa pentadbiran Najib Razak disiasat atas dakwaan penyelewengan wang zakat berjumlah RM10 juta, lapor The Malaysian Insight.

Sebelum ini MAIWP berhujah pihaknya mempunyai kuasa memerintahkan audit kerana majlis agama itu telah memindahkan RM10 juta kepada Iksim pada Januari 2018.

Menurut surat yang dilihat oleh portal berita itu, Iksim menegaskan bahawa mereka bukan anak syarikat MAIWP kerana telah dibentuk sebagai sebuah syarikat pada 2014, dan telah diaudit.

Iksim juga berkeras bahawa pasukan audit MAIWP tidak berhak mengaudit perbelanjaan dana yang diperolehi daripada majlis agama itu.

Alasan yang diberikan adalah Iksim ditubuhkan sebagai sebuah syarikat manakala MAIWP pula mengikut Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam Wilayah Persekutuan 1993 (Akta 505).

“Sejak dari awal penubuhan Iksim lagi, Pasukan Audit Dalam (PAD) MAIWP gagal memahami prinsip separate legal entity antara Iksim yang ditubuhkan sebagai Syarikat Berhad Menurut jaminan (SBMJ) di bawah Akta Syarikat 1975 dan MAIWP yang ditubuhkan menurut Akta 505.

“Iksim bukan anak syarikat MAIWP yang memberi hak kepada PAD MAIWP untuk melakukan pengauditan secara (menyeluruh) kerana IKSIM telah diaudit secara profesional, telus dan adil oleh juruaudit bertauliah untuk tahun kewangan 2015 dan 2016,” surat itu dipetik.

Menurut surat itu lagi, audit berkenaan bagaimanapun tetap dijalankan dan Iksim dalam suratnya kepada Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Abdul Aziz Jusoh menjelaskan ia terpaksa merelakannya kerana bimbang tidak menerima dana.

“Oleh kerana IKSIM telah diugut tentang penyaluran dana RM2 juta yang tertunggak pada bulan Mei sebagaimana yang telah diluluskan JKB, IKSIM terpaksa akur dengan kehendak PAD MAIWP yang berkeras untuk melakukan pemeriksaan audt secara (menyeluruh),” kata surat itu lagi.

Selain itu, institut berkenaan juga menegaskan, perbelanjaaan ke atas dana yang diperolehi daripada kutipan zakat fi sabilillah itu memadai diperjelas kepada jawatankuasa baitulmal MAIWP sahaja.

Tidak lama selepas berkuasa, kerajaan Pakatan Harapan membekukan akaun Iksim bagi melalui proses pemulihan daripada unsur penyelewengan dana korporat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dr Mujahid Yusof, berkata selepas audit dalam terhadap Iksim dibuat, pihaknya mendapati sejumlah RM7.4 juta perbelanjaan daripada RM7.6 juta yang diterima daripada MAIWP tidak dapat dikesan.

Mujahid berkata hanya 2.2 peratus daripada dana tersebut dapat dikesan melalui butiran transaksi.

Namun Iksim menuduh kenyataan Mujahid sebagai fitnah dan menyifatkan MAIWP bukan juruaudit bertauliah.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi MAIWP dan menteri bertanggungjawab.

Lihat Komen