Pengiklanan

    Telegram menteri digodam untuk perdaya wartawan M'kini

    (Dikemaskini )

    Akaun Telegram Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad digodam.

    Malaysiakini mendapati perkara itu apabila penggodam menghubungi salah seorang wartawannya - penulis - dan cuba melakukan penipuan (scam).

    Menurut "Khalid", beliau telah bercakap dengan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Sabin Samitah dan mendapati penulis kini di bawah siasatan dan asetnya akan dibekukan.

    "Sabin beritahu saya secara sulit yang mereka sedang menyiasat anda dan akan beku semua akaun dan rampas aset dalam beberapa hari akan datang.

    "Saya boleh telefon anda tetapi semua perbincangan sulit saya di Telegram. Ini kerana sebagai menteri sesetengah panggilan telefon saya yang biasa mungkin ada kala dipantau. Jadi hal ini di telegram (saja)," kata penggodam itu.

    Penggodam itu kemudian menawarkan bantuan dan berkata dia mempunyai pertemuan dengan Sabin dan akan membincangkan perkara itu.

    Penulis juga diminta menyatakan gajinya dan dia memberikan jumlah yang tidak benar.

    Penggodam itu kemudian meminta penulis memadamkan akaun Whatsappnya.

    Ia nampaknya sebahagian langkah untuk mengawal akaun Whatsapp tersebut, kerana tidak lama kemudian penulis menerima pesanan teks untuk kod pengesahan Whatsapp.

    Penggodam kemudian meminta penulis untuk menyatakan kod tersebut untuk membolehkan "panggilan peribadi" dengannya.

    Setakat berita ini ditulis, penulis masih menunggu panggilan telefon itu.

    Khalid Samad - yang sebenar - ketika bercakap dengan Malaysiakini mengesahkan akaun Telegramnya digodam.

    "Mereka kata telah bercakap dengan LHDN dan memberi amaran akaun anda akan dibekukan. Kemudian mereka akan cuba memeras wang dari anda," katanya.

    Beliau berkata akan membuat laporan polis berhubung perkara itu esok.

    Penulis adalah pembayar cukai yang bertanggungjawab dan telah membuat pengisytiharan pendapatan awal Mac lalu.

    Malaysiakini telah menghubungi Telegram untuk mendapatkan respons.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih