malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Jangan lupa janji manifesto kerana desakan semasa - Anwar
ADS

Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata pemimpin Pakatan Harapan (PH) tidak boleh melupakan janji-janji manifesto pilihan rayanya akibat 'desakan semasa'.

Berucap dalam Persidangan Kebangsaan DAP 2019 hari ini, Anwar berkata PH harus mengakui gabungan itu belum dapat menyampaikan maklumat secara jelas kepada rakyat dan memberi jaminan bahawa semua janji itu akan dipenuhi.

"Mengubah suatu dasar yang diterima oleh rakyat selama lebih setengah abad tidak mudah.

"Tetapi kita harus yakin dan saya setuju apa yang digariskan oleh Lim Guan Eng di akhir ucapan. Janganlah kerana desakan semasa, janganlah kerana kejutan sebentar, menyebabkan kita tersalah langkah, meninggalkan landasan, melupakan manifesto dan janji kita kepada rakyat," katanya.

PH sebelum ini mengatakan gabungan itu tidak dapat memenuhi kesemua janji manifestonya kerana menanggung beban hutang lebih RM1 trilion yang diwarisi daripada kerajaan BN.

Lim, dalam ucapan dasarnya yang akan dibahaskan perwakilan di Pusat Konvensyen Shah Alam petang ini, turut menegaskan PH harus memenuhi janji berkenaan.

Ia katanya bagi meyakinkan rakyat bahawa PH merupakan sebuah kerajaan yang lebih baik daripada Barisan Nasional.

Anwar juga menggesa para pemimpin PH agar terus menunjukkan komitmennya kepada rakyat.

"Kita diberikan mandat di bawah premis bahawa Malaysia akan memenuhi dan terus berjuang dalam mempertahankan setiap warganegara di negara ini.

"Tidak ada yang sepatutnya merasa terpinggir, tidak ada orang yang merasa tidak diendahkan.

"Oleh itu, pertimbangan itu mestilah untuk menampung kebajikan rakyat berdasarkan apa yang diperlukan, memerlukan dasar berasaskan kepada setiap rakyat di negara ini," katanya.

Anwar dalam pada itu turut menasihati golongan 'elit bandar' agar tidak melaksanakan dasar yang mengenepikan pekebun kecil, nelayan miskin dan pekerja estet yang masih memerlukan pembelaan.

"Kita tak boleh bicara tentang need-based kalau kita tidak terus dengan berani membawa satu dasar, melakar satu dasar ekonomi yang memberi keselesaan kepada semua rakyat, terutama yang miskin dan terpinggir," tegasnya.

Lihat Komen