malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PAS Sabah, PBS bekerjasama secara rasmi
Diterbitkan:  May 5, 2019 12:12 PM
Dikemaskini: 4:12 AM
ADS

PRK SANDAKAN | PAS dan Parti Bersatu Sabah (PBS) dilapor menjalinkan kerjasama secara rasmi walaupun kedua-dua parti itu dilihat tidak sehaluan dalam pendekatan mengenai isu hudud.

Hubungan berkenaan diumumkan kira-kira seminggu sebelum PRK Sandakan diadakan pada Sabtu ini.

Menurut portal Berita PAS, kerjasama secara rasmi itu berlaku selepas pemimpin kedua-dua parti mengadakan pertemuan di Bilik Gerakan PBS di Sandakan, semalam.

Menurut laporan tersebut pertemuan berkenaan dihadiri Setiausaha Agung PBS, Jahid Jahim; Pesuruhjaya PAS Sabah, Aminuddin Aling; dan Timbalan Pesuruhjaya III PAS Sabah, Sahar Abdul Majid.

Kerjasama berkenaan dilaporkan dibuat bagi membantu kemenangan calon PBS, Linda Tsen Thau Lin, yang menentang empat calon lain termasuk dari DAP - yang mewakili PH - dan tiga calon bebas.

Terdahulu, PAS yang tidak meletakkan calon untuk PRK Sandakan menegaskan parti itu sedia untuk membantu kemenangan calon pembangkang.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata parti itu akan menggerakkan jentera mereka untuk membantu PBS menghadapi calon kerajaan pada 11 Mei ini.

'Kami mestilah tentang'

Kata Takiyuddin berkata tindakan itu bagi memastikan semua gerak kerja pembangkang berjalan lancar dan berkesan.

"PAS khususnya di peringkat Sandakan dan Sabah akan menggerakkan jentera pilihan raya setempat terutama bagi memastikan anggota dan penyokong-penyokong parti di kawasan itu supaya turun membuang undi pada 11 Mei 2019 bagi membantu calon blok pembangkang," katanya. 

Untuk rekod pada 2015 PBS pernah menyatakan pendirian mereka untuk membantah cadangan PAS membawa rang undang-undang hudud di parlimen.

Presidennya ketika itu, Joseph Pairin Kitingan, berkata hudud bukan sahaja bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan malah Malaysia akan dilihat terkebelakang jika ia dilaksanakan.

"Sekarang ini banyak negara mahu hukuman gantung dan hukuman mati dihapuskan.

"Kemudian akta-akta jenayah dalam draf berkenaan juga sudah ada dalam Kanun Keseksaan. Jadi takkan dua kali kita kena hukum.

"Jadi bagi kami ni, jelaslah (kami membantah). Sedangkan (Tan Sri) Musa Hitam pun sudah tolak, kami lagi, mestilah tentang," katanya seperti dipetik Astro Awani.

Sementara itu Sahar berkata, kerjasama PAS dengan PBS menjadi satu lagi bukti bahawa PAS boleh berpakat dengan parti-parti tempatan Sabah.

"Ia juga adalah satu isyarat bahawa PAS akan bekerjasama dengan parti tempatan Sabah untuk membela nasib semua kaum dan agama khususnya bagi menghadapi PRU ke15," katanya.

Beliau yang juga pengarah jentera operasi PAS Sabah bagi PRK Sandakan berkata, partinya turut memberi komitmen tinggi untuk memperjuangkan hak-hak rakyat Sabah yang terkandung dalam Perjanjian 1963 yang didakwanya diabaikan pemerintah hari ini.

Lihat Komen