malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PAS puas begitu ramai peserta himpunan Ummah
ADS

PAS memberi isyarat berpuas hati dengan kehadiran himpunan anjuran Gerakan Pembela Ummah (Ummah) yang berlangsung di ibu negara, semalam, yang disifatkan parti itu sebagai "begitu ramai" peserta.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata himpunan tersebut berlangsung dengan baik walaupun notis penganjurannya dibuat dalam tempoh cuma seminggu.

"Himpunan itu berjaya dengan kehadiran begitu ramai (orang) walaupun notis hanya seminggu sahaja.

"Ia berjaya menyedarkan masyarakat tentang ancaman yang sedang melanda umat Islam daripada pelbagai isu yang dijelaskan," katanya kepada Malaysiakini.

Semalam Malaysiakini melaporkan kira-kira 1,000 peserta menghadiri himpunan Pertahan Kedaulatan Islam di Kuala Lumpur semalam.

Sumber polis Dang Wangi memaklumkan jumlah kehadiran peserta yang hadir lebih 3,000 orang.

Bagaimanapun penganjur berkata perhimpunan kali ini berjaya menarik kehadiran 10,000 peserta.

Himpunan berkenaan turut dihadiri pemimpin kanan Umno.

Untuk rekod ia dilangsungkan di kawasan tengah Kuala Lumpur yang memang menjadi pusat beli-belah terkenal di negara ini.

Kata Tuan Ibrahim kemunculan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan dan parti politik pada himpunan semalam menggambarkan kebimbangan mereka.

Beliau yang juga anggota parlimen Kubang Kerian menambah, kehadiran begitu ramai peserta menandakan rakyat sekarang mahu kerajaan bertegas terhadap tulisan, ugutan dan penghinaan kepada pihak yang berkaitan Islam.

Antara individu atau kumpulan yang didakwa PAS ditekan itu ialah mufti, pendakwah, raja-raja Melayu dan institusi agama.

"Ia perlu diambil tindakan segera," katanya.

Sementara itu Tuan Ibrahim berkata, himpunan tersebut juga menandakan solidariti mereka kepada mangsa pelbagai dasar kerajaan PH, seperti isu kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, bahasa kebangsaan dan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).

Katanya, satu memorandum juga akan dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong, Majlis Raja-raja dan parlimen bagi memperincikan isu-isu berkaitan.

"Memorandum kepada pihak berwajib diharap dapat diambil tindakan segera," katanya yang turut hadir dalam perhimpunan semalam.

Lihat Komen