malaysiakini logo
story-image
ADS

TINJAUAN | Himpunan Gerakan Pembela Ummah (Ummah) yang menghimpunkan ribuan peserta di ibu negara siang tadi disifatkan sebagai manifestasi ketidakpuasan hati rakyat di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Ini kerana rata-rata peserta perhimpunan yang ditemui Malaysiakini berkata melalui himpuan sedemikian rakyat dapat memperlihatkan apa yang membebani fikiran mereka selepas hampir setahun PH memerintah Malaysia.

Menurut salah seorang peserta himpunan, Akhmal Haris, 48, dari Jerlun, Kedah, kehadirannya hari ini bukanlah semata-mata kerana isu Statut Rom yang merupakan salah satu agenda himpunan itu.

Sebaliknya, Akhmal berkata ia lebih kepada ketidakpuasaan hati rakyat terhadap kepimpinan PH.

Akhmal (gambar) mendakwa selepas hampir setahun pentadbiran Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, kerajaan terus-menerus memberi tekanan kepada rakyat khususnya dalam perkara melibatkan Islam.

“Saya sertai himpunan hari ini bukanlah kerana Statut Rom tetapi lebih kepada ketidakpuasan hati terhadap kerajaan.

“Pimpinan sedia ada hari ini dilihat sengaja memberi tekanan kepada rakyat, bukan sahaja isu Statut Rom tetapi semua apa yang berlaku di dalam negara ini,” kata Akhmal yang tiba di Kuala Lumpur sekitar jam 10.00 pagi tadi dari Jerlun, Kedah.

Bagi Rohani Mohamad, 50, kerajaan PH hari ini didakwa gagal mempertahankan kedaulatan Islam yang merupakan agama rasmi negara.

Rohani (gambar, kanan) berkata kegagalan PH itu boleh dilihat daripada sikap diam diri barisan kabinet ketika wakil rakyat DAP membuat serangan dalam soal Melayu-Islam.

“Himpunan hari ini lebih kepada ketidaktegasan pemimpin kerajaan yang ada hari ini.

“Kita ini negara Islam, jadi adalah menjadi tanggungjawab pemimpin untuk menjaga kedaulatan Islam.

“Tetapi apa yang kita lihat hari ini dari apa yang dinyatakan pihak DAP, nampak sangat kerajaan banyak berdiam diri, lebih-lebih lagi bila DAP lakukan serangan dalam satu-satu isu.

“Sepatutnya kerajaan perlu fikir kepentingan rakyat atau pun bertindak tegas terhadap serangan yang dibuat pemimpin DAP selain menunaikan janji-janji manifesto mereka,” katanya tanpa menjelaskan secara khusus insiden serangan DAP itu.

Menurut Rohani lagi, dia datang bersama 20 lagi rakannya yang lain sebagai sokongan penuh kepada kepimpinan pembangkang yang dilihatnya bersungguh-sungguh mempertahankan kepentingan Melayu-Islam.

Sementara itu, Azli Asmawi, 53 berkata kehadiran ribuan rakyat hari ini bukti rakyat mula sedar bahawa mereka telah ditipu oleh kerajaan pimpinan PH.

Kata Azli (gambar, kanan), kemarahan rakyat itu timbul ekoran tindakan yang disifatkan datang daripada pihak tidak bertanggungjawab apabila dengan sengaja menyentuh soal institusi raja dan Melayu-Islam.

“Daripada apa yang saya tengok kebanyakan orang Melayu dan termasuk keluarga saya yang pangkah (undi) PH dah mula sedar, dan nampak mereka kena tipu.

“Dia kacau orang Melayu, Bumiputera, Islam, raja-raja dan sebab itu orang marah.

“Orang Islam, dia tak solat, kaki perempuan dan berjudi ke apa dia tetap akan marah bila orang lain usik Islam,” katanya.

Azli berkata keadaan negara hari ini juga meresahkan rakyat.

“Saya boleh kata ramai yang saya temui resah dengan apa yang berlaku hari ini, harga barang naik, (dakwaan) nak gugurkan perkataan Islam dalam kad pengenalan, UEC, Statut Rom.

“Statut Rom ini, walaupun saya belajar sampai tingkatan tiga tapi saya banyak membaca. Kita tengok bila perdana menteri dah kata tarik balik ratifikasi Statut Rom, kenapa masih ada yang bising soal itu?

“Kalau BN sebelum ini mereka kata setuju dengan Statut Rom tapi mereka tak tanda tangan. Peguam Negara pun tak tandatangan, kenapa perdana menteri dengan peguam negara hari ini tak sama dengan kabinet?

"Mereka ini tidur satu bantal tapi mimpi lain-lain,” katanya.

Sementara itu, bagi Osman Abdul Rahman, 53 (gambar) matlamat beliau hadir ke himpunan petang untuk menyedarkan kerajaan PH bahawa mereka perlu mendengar suara rakyat.

“Kerajaan hari ini, kita tengok langsung tidak mempertahankan hak Melayu-Islam dan kalau kita tengok dari segi hak keistimewaan orang Melayu pun yang ada dalam perlembagan terus dicabar.

“Kita nampak dari segi Melayu-Islam dan Raja-raja kerajaan tak langsung pertahankan dan sebab itu matlamat saya hanya satu, iaitu mempertahankan kepentingan Melayu-Islam dan kedaulatan Raja-raja serta hak-hak orang Melayu,” katanya.

Kata Osman, sekiranya kerajaan gagal mendengar tuntutan perhimpunan ini tidak mustahil rakyat akan terus berdemonstrasi dari semasa ke semasa.

“Kita harap kerajaan dengar apa yang kita tak puas hati, lebih-lebih lagi yang melibatkan kepentingan orang Melayu. Ambil berat, kerana hak orang Melayu ini memang dah termaktub dalam perlembagan, jangan sesekali cuba menghakisnya.

“Kalau tidak rakyat akan terus berhimpun bagi mendesak kerajaan dengar suara rakyat,” katanya lagi.

Lihat Komen