Setiausaha sulit Sultan Johor hari ini memaklumkan bahawa Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tidak pernah dimaklumkan berhubung sebidang tanah atas nama baginda yang direncana untuk digunakan bagi projek Sistem Transit Aliran Johor–Singapura (RTS).
Kenyataan itu berkata Sultan Johor kecewa dengan dakwaan yang mengatakan kos projek meningkat susulan bayaran pampasan bagi tanah yang didakwa ditukar milik ke atas nama baginda.
Kenyataan itu juga memaklumkan, Sultan Johor bersedia menyerahkan tanah itu kepada kerajaan tanpa sebarang kos.
"Adalah dimaklumkan bahawa Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor berasa kecewa di atas satu berita yang mengaitkan isu peningkatan kos Projek RTS dengan sebidang tanah milik Baginda Tuanku di Bukit Chagar.
"Sehingga ke hari ini, Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor tidak pernah dimaklumkan mengenai tanah milik baginda Tuanku yang akan terlibat untuk Projek RTS tersebut.
"Namun begitu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor telah bertitah bahawa sekiranya benar tanah milik baginda Tuanku di Bukit Chagar tersebut terlibat untuk Projek RTS, maka Baginda Tuanku berkenan untuk menyerahkan tanah yang terlibat kepada kerajaan tanpa sebarang kos," kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, penyerahan tanah berkenaan adalah dengan syarat Projek RTS diteruskan dengan segera kerana baginda memahami derita rakyat yang terpaksa berulang-alik ke Singapura.
"Sebagaimana yang sering ditegaskan bahawa kepentingan rakyat dan kerajaan sentiasa menjadi keutamaan baginda Tuanku, dan setiap isu haruslah dibawa berbincang secara muafakat," katanya.
Sumber dalam kerajaan berkata projek RTS terganggu kerana perlu membayar pampasan kepada Sultan Johor.
Selain tanah berkeluasan 4.5 hektar di Bukit Chagar, sebidang lagi tanah 2.4 hektar yang direncana untuk projek RTS juga berada di bawah pemilihan Sultan Johor sejak 2014.
Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan membeli semula tanah itu jika Sultan Johor membayarnya.
Bagaimanapun, Mahathir berkata kerajaan tidak akan mengeluarkan apa-apa wang untuk memperoleh tanah itu jika pemerintah Johor tidak membayar untuk pemilikan tanah itu.
Malaysiakini hari ini melaporkan, tanah di Bukit Chagar dipindah milik pada 19 Nov 2017 ke atas nama Sultan Johor, iaitu dua hari selepas baginda memberi perkenan penjajaran semula projek RTS.
Baca berkaitan: Tanah ditukar milik 2 hari lepas Sultan Johor perkenan penjajaran semula RTS