Sebelum pilihan raya umum (PRU) lalu, Lim Kit Siang merupakan ahli parlimen yang paling kerap menulis kenyataan media berhubung isu semasa.
Selepas PRU, Lim dilihat banyak menumpukan kritikan terhadap Najib Razak yang membuatkan bekas perdana menteri itu menggesa agar pemimpin DAP berkenaan hentikan obsesi terhadapnya.
Susulan itu, Lim membalas dengan berkata bahawa obsesinya adalah terhadap skandal 1MDB, yang kini menyaksikan Najib sedang dalam perbicaraan mahkamah berhubung dakwaan berkaitan.
Bagaimanapun, dalam beberapa bulan kebelakangan ini, ahli parlimen Iskandar Puteri itu dilihat senyap dari membuat kenyataan media.
Melalui kenyataan media yang dikeluarkan hari ini dari Sandakan, Sabah, yang kini menjadi medan kempen pilihan raya kecil (PRK), pemimpin DAP itu akhirnya bersuara.
Jelas Lim, salah satu sebab yang membuatnya berdiam diri kebelakangan ini adalah kerana tuduhan yang mengatakan dia merupakan dalang di sebalik keputusan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan kabinet.
Menyifatkan tuduhan itu sebagai "penipuan jahat", Lim berkata: "Kita hidup dalam era penipuan seiring dengan perkembangan internet dan media sosial."
Kata Lim, dia baru-baru ini melihat dua imej di WhatsApp, satu memaparkannya sebagai 'tok dalang' yang kepada patung dengan logo PKR, Bersatu dan Amanah, sementara yang satu lagi menunjukkan dia memberi arahan kepada Dr Mahathir, Timbalan Perdana Menteri Malaysia Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.
"Ini merupakan penipuan besar yang jahat dan fitnah - menggambarkan saya sebagai ancaman paling besar kepada Melayu dan Islam di kawasan parlimen Melayu-Islam, sementara dalam kalangan bukan Melayu dan bukan muslin, saya juga dikecam sebagai menjual hak dan kepentingan golongan bukan Melayu dan bukan Muslim.
"Situasi ini seperti, buat salah, tak buat pun salah," katanya.