Pengiklanan

    Tanah pusat kini milik sultan Johor, projek RTS terganggu - sumber

    (Dikemaskini )

    Kajian semula Putrajaya berkaitan projek Sistem Transit Aliran Johor–Singapura (RTS) dari Johor Bahru kepada Singapura terganggu secara tidak langsung, kata sumber.

    Pencarian mendapati bahawa sebidang tanah di Bukit Chagar, yang sepatutnya milik kerajaan persekutuan telah ditukar milik ke atas nama Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

    Beberapa individu yang mengetahui perkara itu memberitahu Malaysiakini bahawa Pejabat Tanah dan Galian Johor, mendapat tahu pertukaran hak milik ini pada 28 Januari lalu.

    Tanah tersebut merupakan salah satu daripada lima bidang tanah di Bukit Chagar yang diberikan kepada Putrajaya oleh kerajaan negeri pada 2012 sebagai sebahagian daripada perjanjian pertukaran tanah untuk membina kompleks kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ) Johor Bahru.

    Namun, ia masih samar bila dan bagaimana sultan memiliki tanah tersebut, tetapi sumber percaya geran tanah untuk 4.5 hektar ditukar semasa pentadbiran kerajaan BN antara 2017 hingga 2018.

    Sumber juga memberitahu Malaysiakini, Putrajaya kini perlu menyediakan RM495 juta sebagai pampasan untuk mengambil balik tanah tersebut, sedangkan pada asalnya ia sepatutnya dimiliki olehnya.

    "Jadi, masalah sekarang adalah kos. 

    "Tanah tersebut sepatutnya milik kerajaan persekutuan, tetapi sekarang ia memerlukan kos tambahan untuk diuruskan," kata seorang dengan syarat tidak mahu mendedahkan namanya.

    Malaysiakini kini sedang cuba mendapatkan penjelasan istana Johor berkaitan dakwaan itu.

    Sementara itu, bekas menteri besar Johor, Khaled Nordin memberitahu Malaysiakini, persoalan berkaitan perlu ditujukan kepada Pejabat Tanah dan Galian.

    Tanah dimaksudkan kini digunakan sebagai tempat parkir awam.

    Selain tanah di Bukit Chagar, sumber berkata bahawa Putrajaya kemungkinan perlu mengambil sebidang tanah bawah dasar laut di Selat Johor yang bernilai lebih kurang RM198 juta daripada sultan.

    Dengan kata lain, kerajaan persekutuan perlu membayar pampasan kepada sultan dalam lingkungan RM693 juta untuk dua plot tanah tersebut.

    Ditemui di Kuala Lumpur hari ini, Menteri Besar Johor Dr Sahruddin Jamal hanya melambai tangan kepada media dan terus bergerak ke kereta ketika diminta mengulas berkenaan status tanah di Bukit Chagar untuk projek RTS.

    Sahruddin dan exco negeri Johor terdahulu mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

    Terdahulu, dilaporkan bahawa Putrajaya meminta tambahan enam bulan kepada Singapura sebelum membuat keputusan muktamad terhadap projek RTS.

    Landasan tren RTS yang sepanjang 4km itu, dicadangkan untuk menghubungkan stesen Bukit Chagar di Johor Bahru dengan laluan RTS Stesen Woodlands North Station di Singapura melalui sebuah jambatan 25 meter melintasi Selat Johor.

    Menteri Pengangkutan Anthony Loke menganggarkan projek ini akan menelan RM4 bilion, dan Putrajaya sedang mencari jalan untuk mengurangkan kos.

    Mahathir turut berkata bahawa kerajaan pusat terbuka kepada sebarang alternatif murah berbanding RTS.

    [Baca berita asal]

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih