malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
ADS

Bekas pengerusi Felcra Berhad Bung Moktar Radin dan isterinya, Zizie Izette A Samad dihadapkan ke mahkamah atas enam pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Mereka dihadapkan dengan tiga pertuduhan setiap seorang, dengan Bung Moktar berhadapan tiga pertuduhan menerima rasuah, manakala Zizie pula dihadapkan dengan tiga tuduhan bersubahat menerima rasuah.

Dalam pertuduhan pertama, Bung Moktar pada 12 Jun 2015 dituduh menerima suapan berupa wang tunai RM2.2 juta daripada seorang ejen pelaburan Public Mutual Berhad melalui Zizie.

Suapan itu dibayar sebagai upah bagi mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II supaya Felcra membuat pelaburan sebanyak RM150 juta untuk menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula, Bung Moktar pada 19 Jun 2015 didakwa menerima suapan RM262,500 dan RM337,500 melalui akaun bank yang didaftarkan atas nama Zizie untuk tujuan yang sama.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob mengikut subseksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Anggota parlimen Kinabatangan itu mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan tersebut.

Isteri dituduh subahat

Sementara itu, dalam sebutan berasingan, Zizie didakwa dengan tiga tuduhan bersubahat dengan Bung dalam menerima rasuah pada tarikh dan jumlah suapan yang sama.

Zizie didawa mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009.

Zizie yang memakai persalinan serba hitam tidak mengaku bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi.

Bung dan Zizie diwakili peguam K Kumaraendran sementara pihak pendakwaan diwakili Umar Saifuddin Jaafar bersama Allan Suman Pillai (untuk kes Bung) dan Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar (untuk kes Zizie). 

Jika sabit kesalahan, kedua-duanya boleh dihukum bawah subseksyen 24(1) Akta yang sama, membawa kepada hukuman penjara tidak lebih 20 tahun, atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Kedua-dua hakim menetapkan ikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin, dengan syarat tambahan pasport tertuduh hendaklah diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dibicarakan.

Rozina menetapkan tarikh sebutan semula kes Bung Moktar pada 10 Jun.

Sebutan semula kes Zizie juga ditetapkan 10 Jun setelah Azura membenarkan permohonan perbicaraan bersama yang dikemukakan Umar.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Bung Moktar yang memakai sut hitam dan berkemeja biru muda itu tersenyum di hadapan pemberita.

Bagaimanapun, dia yang berjalan beriringan dengan isterinya tidak mahu memberikan sebarang komen.

Bung Moktar dilantik sebagai pengerusi Felcra pada Julai 2013 sebelum meletakkan jawatan pada 1 Jun 2018 susulan kekalahan Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Mei tahun lalu.

Lihat Komen