malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
IPCMC bukan untuk hukum polis, kata Muhyiddin
ADS

Keraguan pihak polis untuk menerima penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) kerana mereka merasakan ia satu bentuk hukuman.

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan komited menubuhkan suruhanjaya itu namun penglibatan lanjut perlu dilakukan bersama pihak polis.

“Masih ada perkara-perkara yang tak begitu jelas umpama mereka andaikan dengan adanya IPCMC macam polis jadi sasaran bahawa polis lakukan banyak kesalahan.

“Tubuh badan seperti ini seolah-seolah untuk hukum mereka, ini tak betul,” kata Muhyiddin dalam temu bual bersama media di Putrajaya semalam.

Kenyataan Muhyiddin itu dibuat beberapa jam sebelum Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun mengeluarkan kenyataan bahawa pihak polis akan mengemukakan bantahan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berhubung penubuhan IPCMC.

Sementera itu, Muhyiddin berkata kerajaan telah meminta Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) Abu Kassim Mohamed untuk terlibat dengan polis dalam satu sesi dialog.

Muhyiddin berkata langkah itu akan memberi ruang kepada kerajaan untuk menjelaskan mengenai penubuhan IPCMC dan polis pula boleh menyuarakan keraguan mereka terhadap penubuhan suruhanjaya itu.

Pada 2006, ketika pentadbiran bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi, pembentukan IPCMC ditolak oleh Ketua Polis Negara waktu itu Mohd Bakri Omar.

Mohd Bakri berkata kuasa SPP sebagai badan disiplin, harus dikekalkan.

Manakala ketika pentadbiran Najib Abdul Razak pula, beliau berjanji untuk meningkatkan prestasi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dan bukannya menubuhkan IPCMC.

Penubuhan IPCMC adalah selaras Janji 20 yang digariskan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) bagi menangani isu integriti dan menyiasat salah laku dalam kalangan anggota PDRM menggantikan EAIC.

Lihat Komen