Pengiklanan

    Orang Pulau Berhala yang wujud tapi 'tak kelihatan'


    (Dikemaskini )

    LAPORAN KHAS | Gelaran Negeri Di Bawah Bayu untuk Sabah dikatakan diambil daripada karya penulis AS, Agnes Newton Keith, bertajuk Land Below The Wind pada 1939.

    Melalui naskhah itu Agnes menuliskan kisah tentang orang tempatan di Sandakan.

    Dalam bunyi bedilan dan tembakan Perang Dunia Kedua, tentera Jepun menakluki Sandakan pada 1942. Agnes dan keluarganya dikurung di kem tawanan perang yang dikawal Jepun di Pulau Berhala, kira-kira 5km dari bandar Sandakan.

    Beberapa dekad kemudian kawat berduri di kem tahanan di Pulau Berhala hilang ditelan sejarah, tetapi ia tidaklah terbiar begitu saja.

    Pulau Berhala kemudian menjadi tempat perlindungan orang Bajau beragama Islam yang melarikan diri dari perang di antara tentera Filipina dan pasukan bersenjata Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) pada 1970-an.

    Menaiki perahu mereka meninggalkan kampung halaman di selatan Filipina dan menuju pantai timur Sabah. Salah satu destinasi mereka ialah kem tahanan lama di Pulau Berhala.

    Perubahan suasana dan masa tidak banyak mengubah keadaan penghuni Pulau Berhala. Kini kebanyakan pelarian tersebut tidak mempunyai kerakyatan.

    Lebih memburukkan keadaan mereka tidak memiliki sebarang dokumen yang sah untuk diiktiraf kerajaan Malaysia.

    Ada jurang memisahkan

    Oleh sebab itu, pergerakan sebahagian besar mereka terhad di Pulau Berhala saja. Bergerak lebih jauh dari situ bermakna mereka merisikokan diri untuk ditangkap.

    Suka atau tidak, mereka pun menjadi tahanan tanpa tembok.

    Tanpa kerakyatan bermakna mereka tidak mempunyai hak sebagai warganegara. Tanpa kewarganegaraan sudah pasti mereka tidak layak mengundi.

    Maknanya pada PRK Sandakan tidak lama lagi suara penghuni Pulau Berhala tidak akan diambil kira. Keputusan PRK berkenaan tidak akan dipengaruhi oleh kehendak penghuni Pulau Berhala.

    Namun pada masa sama, 'jurang' yang ada tidak bermakna mereka langsung tidak ada hubungan dengan politik Sabah dan Malaysia.

    Salah seorang penghuni Pulau Berhala yang tidak memiliki kerakyatan ialah Muslim Sali, 62.

    Pada suatu malam kira-kira 48 tahun silam, dia bersama ayah dan neneknya menaiki bot meninggalkan Pulau Tawi-Tawi menuju Semporna. Dia baru berusia belasan tahun ketika itu.

    Mereka nekad meninggalkan kampung halaman demi mencari tempat selamat sekali gus menyelamatkan diri daripada konflik berdarah di selatan Filipina itu.

    Mereka menghabiskan masa kira-kira 24 jam untuk sampai ke Semporna, sesuai dengan jarak di antara keduanya iaitu 170km.

    Selepas mendarat, Muslim, bapa dan neneknya bergerak ke arah utara menuju ke Sandakan dan seterusnya menetap di Pulau Berhala.

    Muslim Sali

    Sekarang Muslim tidak lagi bekerja, sebaliknya sekadar menjadi imam masjid di Pulau Berhala.

    Dengan kopiah putih di kepala, Muslim menceritakan pengalamannya dikurung dalam kem tahanan pendatang tanpa dokumen di Sandakan.

    “Kami dipagar oleh kerajaan di kem tahanan di Batu 1.5. Kami dikumpulkan di situ.

    "Ketika itu ada (orang kata) sesiapa ada penjamin boleh buat pasport. Kebetulan saya ada penjamin (dalam kalangan orang tempatan) dan saya dapatlah pasport." katanya.

    Cari ikan sorok-sorok

    Sebenarnya ia bukanlah pasport sebenar seperti yang dikenali umum, sebaliknya permit masuk pelarian IMM13 yang diberikan kepada warga asing di Malaysia.

    Menurut akhbar tempatan Sabah Daily Express, sesiapa yang memiliki IMM13 berwarna jingga boleh menetap di Sabah dan Labuan secara sah. Mereka juga dibenarkan bekerja serta mengikuti pembelajaran di sekolah kerajaan.

    Dengan “pasport” itulah Muslim dapat keluar dari kem tahanan dan bekerja di ladang dan gudang serta memukat ikan di Pulau Berhala tanpa gangguan pihak berkuasa.

    Dokumen yang dikenali sebabgai IMM13

    Selepas berkahwin, pada suatu hari Muslim menemani isterinya ke Lahad Datu yang terletah di bahagian selatan. Malangnya, dia tercicir IMM13 dalam pelayarannya.

    Tanpa dokumen itu dia kembali dianggap sebagai pendatang tanpa dokumen.

    Dala keadaan begitu Muslim tidak dapat bekerja secara sah. Untuk mencari rezeki dia terpaksa memukat ikan secara sembunyi-sembunyi.

    Hasil perkahwinannya Muslim dikurniakan lapan cahaya mata, namun hanya separuh mendapat taraf warganegara Malaysia manakala selebihnya tidak memiliki kerakyatan.

     

    Untuk rekod isteri Muslim mempunyai kad pengenalan Malaysia.

    “Semasa isteri saya bersalin anak sulung hingga anak keempat, dia takut ke klinik walaupun ada orang nasihatkan agar kami berbuat demikian supaya ada surat beranak, mudahlah proses mendapatkan kad pengenalan.

    "Hanya mulai anak kelima hingga kelapan isteri saya bersalin di klinik dan kelahiran itu direkodkan dan anak-anak kami mendapat kad pengenalan," katanya.

    Masalah tidak berakhir di situ. Semasa kerajaan Malaysia menggantikan kad pengenalan lama dengan MyKad, isteri Muslim gagal mendapatkannya.

    Keadaan itu menyebabkan nasib mereka menjadi serupa - tidak memiliki kerakyatan.

    “Dulu semasa bini saya ada IC (kad pengenalan) bunga raya (yang lama) dia dapat mengundi beberapa kali, tapi sekarang dah tak ada," katanya.

    Kemahiran 3M seadanya

    Bagi Muslim, ketika ini dia lebih risaukan anak dan cucu-cucunya yang dikurung nasib sebagai orang tanpa kerakyatan. Tanpa dokumen itu mereka tidak dapat belajar atau mencari kerja.

    “Kami orang kampung minta tolong sama kerajaan, minta buat IC ataupun pasport supaya kita tidak ditangkap.

    “Nanti besar, budak-budak tak dapat cari makan, tak boleh belajar di sekolah," katanya.

    Semasa Malaysiakini membuat tinjauan di Pulau Berhala, kebetulan ia adalah hari persekolahan. Dua remaja berusia 13 tahun dan 17 tahun memberitahu, mereka tiada kerakyatan justeru dan tidak boleh ke sekolah atau bekerja secara sah.

    Salah seorang daripada mereka mungkin bernasib baik kerana dapat juga menguasai asas 3M - membaca, menulis dan mengira.

    Ketika itu, tidak jauh dari kami, kelihatan beberapa kanak-kanak tempatan sedang turun dari kapal untuk pulang dari sekolah.

    Jeti di Pulau Berhala

    Khusus 3M, kata Ketua Kampung Pulau Berhala, Junior Jikirin, diajar anggota tentera Malaysia yang ditempatkan di pulau berkenaan.

    Kemahiran asas itu, katanya, adalah sama seperti kebolehan pelajar darjah tiga di sekolah kerajaan.

    Menurut Junior, selain pendidikan asas, tentera juga memberi bantuan perubatan asas kepada pemegang IMM13 dan juga pemegang kertas Lepa-lepa.

    Dalam Bahasa Bajau, lepa-lepa merujuk kepada perahu tradisi mereka. 

    Dalam konteks Pulau Berhala, ia bermaksud dokumen pengenalan diri sebagai Bajau Laut yang dikeluarkan oleh Pejabat Mahkamah Anak Negeri Semporna.

    Walaupun orang Bajau berharap dokumen Lepa-lepa dapat mengubah nasib masing-masing seperti dilakukan perahu nenek moyang mereka yang bebas berlayar di Laut Sulu, realitinya ia tidak diktirafi oleh pihak berkuasa Malaysia.

    Dokumen dikenali sebagai Lepa-lepa

    “Pemegang Lepa-lepa hanya boleh melalui perairan Semporna dan Pulau Berhala. Mereka boleh ikut jalan darat, tapi ini nasiblah. Dia sewa kereta atas jalan, kalau kena tangkap, dia punya nasib," kata Junior.

    Bagi wanita yang bersalin, caj yang dikenakan ke atas mereka berbeza - bergantung sama ada memiliki dokumen atau tidak.

    Junior berkata di hospital kerajaan wanita yang memiliki MyKad dikena bayaran beberapa puluh ringgit, manakala pemegang IMM13 dikena sebanyak RM4,000.

    Pemegang Lepa-lepa pula tidak diterima untuk masuk wad.

    Dalam hitungan kasar Junior, daripada keseluruhan 2,500 penduduk Pulau Berhala, hanya 1,000 mempunyai dokumen termasuk 800 orang mempunyai IMM13, manakala pemegang Lepa-lepa ada kira-kira 700 orang.

    Ini bermakna 60 peratus penduduk pulau itu bukan warganegara Malaysia.

    Di Sabah, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi menjangkakan hampir 30 peratus penduduk negeri itu bukan warganegara. Ia adalah lebih berbanding 10 peratus untuk kadar purata Malaysia.

    [Bersambung]

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih