malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Isu Dr M, istana: Beri peluang k'jaan mentadbir - Pemuda Amanah
Diterbitkan:  May 1, 2019 10:26 PM
Dikemaskini: 2:55 PM
ADS

Pemuda Amanah memberi amaran keras terhadap sebarang cubaan menangguk di air yang keruh terhadap perbalahan di antara Perdna Menteri Dr Mahathir Mohamad dengan pihak istana, kata Ketua Pemudanya, Sany Hamzan.

"Pemuda Amanah memberi amaran keras terhadap mana-mana pihak yang cuba untuk mengambil kesempatan menangguk di air keruh dengan cuba mewujudkan pergeseran di antara pihak kerajaan dan pihak istana.

"Cubaan untuk mewujudkan polemik yang tidak baik perlu ditolak," katanya dalam suatu kenyataan hari ini.

Adun Taman Templer itu juga berkata kerajaan PH perlu diberi peluang melaksanakan mandat mentadbir negara tanpa urusannya diganggu.

"Pemuda Amanah menyeru semua pihak agar bertenang dan tidak cuba mengambil kesempatan di dalam isu teguran oleh pihak Istana terhadap pentadbiran kerajaan.

"Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi di Malaysia telahpun menggariskan wilayah kekuasaan dan tanggungjawab kerajaan Persekutuan serta pihak Istana. Ini adalah manifestasi konsep Raja berperlembagaan yang menjadi tunjang pemerintahan negara kita.

"Pihak kerajaan yang telah dilantik secara sah oleh rakyat harus diberi peluang untuk mentadbir urus negara apatahlagi dalam keadaan ekonomi negara yang masih dalam proses pemulihan dan juga reformasi-reformasi institusi yang masih dalam proses," kata Sany lagi.

Menurutnya, keutuhan Raja Berperlembagaan akan kekal dihormati selagi tidak melanggar batas-batasnya.

"Konsep Raja Berperlembagaan yang diamalkan di dalam negara menuntut semua pihak mematuhi sempadan kuasa yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

"Kerajaan khususnya badan eksekutif yang diketuai oleh perdana menteri yang dilantik secara sah oleh rakyat mempunyai hak untuk mentadbir negara mengikut acuan yang tersendiri.

"Keutuhan konsep Raja Berperlembagaan akan kekal dihormati apabila batas-batas ini tidak dilanggari," jelasnya lagi.

Walaupun Sany tidak menyebut nama tetapi dipercayai beliau merujuk pergeseran antara Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan pihak istana Johor, khususnya Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Baru-baru ini, Mahathir dan istana Johor antaranya tidak sependapat mengenai beberapa isu, antaranya ratifikasi perjanjian Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), pelantikan menteri besar dan rombakan exco kerajaan negeri yang baru.

Mahathir menegaskan cuma rakyat yang boleh menentukan pilihan perdana menteri selepas Tunku Ismail bertitah: "Daripada tukar (jurulatih JDT) Mora baik tukar perdana menteri."

Lihat Komen