malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PM: Tak mudah jaga keharmonian kaum di M'sia
ADS

Malaysia mendapat pujian sebagai tauladan keharmonian antara kaum dan agama pada sebuah forum antarabangsa hari ini di ibu negara.

Walau pun begitu majlis juga mendengar pemimpin negara berkata usaha memelihara keamanan itu bukanlah tanpa cabaran.

Pada persidangan belia anjuran sebuah badan pemikir yang berpengkalan di Istanbul, Turki, Presiden Forum Al Sharq Wadah Khanfar berkata terdapat keperluan untuk memiliki nilai bersama yang menyatukan umat manusia di seluruh dunia.

Khanfar yang merupakan bekas wartawan kelahiran Palestin menjelaskan hal tersebut penting apabila berhadapan dengan meningkatnya "nasionalisme ekstrem" dan fobia terhadap orang asing di banyak negara.

"Kami melihat Kuala Lumpur dan Malaysia sebagai tauladan hebat bagaimana untuk hidup bersama, toleransi serta keharmonian di kalangan pelbagai kaum dan agama.

"Dan kami fikir model ini perlu diperkenalkan sebagai tauladan kepada kami di mana-mana pun juga," kata Khanfar (gambar) yang juga bekas ketua pengarah stesen Al Jazeera selama lapan tahun sebelum melepaskan jawatannya pada 2011.

Seterusnya Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad naik ke pentas Forum Al Sharq pagi ini. Beliau berkongsi pengalamannya mentadbir negara berkata menguruskan kemajmukan sebegitu tidak selalunya 'menyeronokkan'.

"Pada kebiasaannya, perbezaannya diperkukuh dan persamaannya dilemahkan.

"[...] Kami mempunyai set prasangka dan ketaksuban di tengah-tengah masyarakat kami. 

"Tetapi apa pun, kami perlu menerima sebarang cubaan untuk hanya menjuarai satu-satu kaum atau kumpulan agama dengan mengesampingkan hak yang lain akan mengakibatkan kemusnahan terhadap apa yang telah kami bina dengan kerja keras selama ini," katanya.

Mahathir percaya penyelesaiannya bergantung pada sikap kompromi, pragmatisme dan keupayaan menyesuaikan diri.

"Kami mengamalkan prinsip keadilan apabila kami menyedari bahawa kesaksamaan mungkin tidak memberi hasil. 

"Kami berusaha untuk berkompromi apabila kami sedar mustahil kami dapat membuatkan semua orang merasa berpuas hati dan kami menentang amalan taksub serta syak wasangka buruk dengan kasih sayang dan sikap prihatin.

"Perbezaan agama, bangsa, budaya dan adat kami memerlukan kami untuk berkompromi dan menyesuaikan diri. Dan kami belajar untuk bertolak ansur terhadap banyak perkara.

"Ya, sesetengah orang mungkin berkata di atas kertas nampak bagus dan tidak semua yang kami lakukan membuahkan hasilnya. 

"Tetapi ia usaha berterusan dan kami cukup pragmatik untuk mengubah pendekatan kami apabila kami tahu ia tidak membawa kami maju ke hadapan," jelas perdana menteri.

Persidangan tahunan anjuran Forum Al Sharq itu pertama kali berlangsung di Asia Tenggara selama dua hari dan akan turut menampilkan ucapan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Ahli akademik, peneraju perniagaan dan aktivis dari seluruh dunia akan bercakap pada majlis bertemakan "Miliki Masa Depan Kamu."

[Baca berita penuh]

Lihat Komen