malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Siasat forum Statut Rom bukan bermaksud dakwa - PM
ADS

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata siasatan polis terhadap penganjur forum Statut Rom baru-baru ini bukan bermaksud untuk menghalang kebebasan bersuara.

Beliau menegaskan peranan polis memastikan keselamatan dan siasatan berkenaan tidak semestinya disusuli tindakan pendakwaan di mahkamah.

"Polis di sini untuk melindungi kita. Apabila orang cuba mencetuskan masalah, mereka akan berusaha mencari tahu.

"Ini tak bermakna siasatan itu akan mendakwa orang (tetapi) tetapi mereka (polis) mesti tahu sama ada terdapat cubaan untuk membangkitkan masalah atau tidak.

"Itulah sebabnya mereka perlu siasat. Ini tidak bermaksud ia akan diikuti dengan pertuduhan," katanya ketika ditanya media selepas memberi ucaptama pada Persidangan Belia Al Sharq di Kuala Lumpur pagi ini.

Kerajaan sebelum ini menarik diri daripada meratifikasi Statut Rom tetapi mengubah keputusan selepas menerima bantahan pelbagai pihak, termasuk Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Mahathir berkata keputusan itu berpunca daripada kekeliruan yang dicipta individu tertentu "yang hendak memukul orang sesuka hati dan melakukan perkara seperti itu" .

Forum bagi membincangkan Statut Rom Sabtu lalu dianjurkan oleh para pelajar dengan menampilkan ahli akademik, aktivis dan juga Peguam Negara Tommy Thomas.

Ahli panel lain termasuk ahli akademik Syed Husin Ali, anggota G25 Noor Farida Ariffin, pakar perlembagaan Shad Saleem Faruqi dan peguam Lim Wei Jiet.

Ditanya hari ini jika siasatan di bawah Akta Hasutan akan menghalang orang ramai daripada membincangkan topik tersebut, Mahathir berpendapat kebebasan mesti datang dengan tanggungjawab.

"Kita ada kebebasan untuk bercakap tapi kebebasan bercakap ada batasnya.

"Kalau kamu lakukan sesuatu yang akan menyebabkan masalah bagi orang, jika kamu menghina orang, tentu saja ini tidak termasuk dalam kebebasan bercakap," katanya.

Lihat Komen