malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Maszlee yakin ibu bapa setuju mansuh peperiksaan lepas lihat hasil
ADS

WAWANCARA | Meskipun tidak semua pihak senang dengan keputusan kerajaan untuk memansuhkan peperiksaan untuk murid sekolah rendah, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik yakin ibu bapa akhirnya akan bersetuju apabila melihat dasar itu membuahkan hasil.

Bermula tahun ini, peperiksaan pertengahan tahun dan hujung tahun bagi Darjah 1 hingga Darjah Tiga dimansuhkan untuk penilaian yang lebih holistik yang menggalakkan pembinaan perwatakan murid.

Pendekatan itu selari dengan hasrat Maszlee untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih menyeronokkan dan tidak bertumpu pada peperiksaan semata-mata.

Tinjauan Merdeka Center yang diadakan pada Mac mendedahkan purata 54 peratus responden dari pelbagai bangsa, umur, jantina dan latar ekonomi berkata mereka tidak bersetuju dengan pendekatan itu.

Ditanya tentang tinjauan berkenaan, Maszlee berkata dia yakin lama-kelamaan ibu bapa akan memahami visinya.

"Baru empat bulan (sejak dilaksanakan).

"[...] Apabila kita cuba perkenalkan benda baru, (terutamanya apabila) kita adalah masyarakat yang sangat berorientasikan peperiksaan, akan ada ketidakpuasan hari pada mula-mula.

"Tapi akhirnya, saya percaya apabila mereka boleh melihat hasil dan perkembangan holistik anak-anak mereka, semua orang akan gembira," katanya ketika wawancara di Putrajaya semalam sempena setahun PH mengambil alih kerajaan.

Maszlee bagaimanapun enggan menyebutkan secara spesifik tempoh untuk melihat hasil itu.

Sebaliknya, Maszlee berkata dia akan mengikuti perkembangan dasar berkenaan dari dekat dan menelitinya setiap enam bulan.

Sebelum itu, Maszlee menjelaskan rasional di sebalik dasar berkenaan.

"Mungkin terdapat salah faham apabila orang sebut pemansuhan peperiksaan, (mereka menyangka)langsung tak ada penilaian. Bukan.

"Penilaian dilakukan secara holistik, ataupun kita panggil sebagai pentaksiran holistik yang tidak semata-mata tertumpu pada peperiksaan

"Kita ingin melarikan daripada orientasi peperiksaan semata-mata, kita tak nak murid hanya diklasifikasikan dengan angka-angka ataupun dengan abjad-abjad," katanya.

Kejayaan dalam tempoh setahun

Maszlee dilihat merupakan salah satu menteri PH yang sering dikaitkan dengan kontroversi, termasuk dengan pengumuman berhubung pemakaian kasut hitam untuk murid sekolah.

Semalam, Maszlee cuba untuk tidak menjadikan isu itu menenggelamkan inisiatif lain yang diusahakan kementerian di bawah terajunya sejak setahun lalu.

Antara lain, Maszlee berkata kementeriannya berjaya menggalakkan kanak-kanak tanpa kewarganegaraan dan kanak-kanak dengan keperluan khas mendaftar sekolah yang seterusnya membolehkan sejumlah 2,635 dan 5,486 pelajar didaftarkan bagi kategori masing-masing.

Selain itu, Maszlee juga menyorot usaha untuk membebaskan guru daripada beban tugas perkeranian yang menurutnya berkurang 30 peratus.

Maszlee juga berkata kementeriannya secara giat membaik pulih sekolah usang, dengan kerja-kerja selesai untuk 394 buah sekolah atau 65 peratus dari sasaran keseluruhan.

Sebagai bekas pensyarah, Maszlee turut menyorot kejayaannya memansuhkan beberapa peruntukan dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971 untuk membolehkan pelajar mengambil bahagian dalam aktiviti politik di kampus.

Maszlee menegaskan bahawa akta berkenaan akan digantikan pada 2020 dan menambah bahawa universiti kini mempunyai lebih autonomi termasuklah membenarkan pelajar untuk mengadakan pilihan raya kampus sendiri.

Bagi sastera dan seni, katanya, Sasterawan Negara akan terlibat dengan universiti untuk membantu meningkatkan piawai pengajaran dalam mata pelajaran itu.

[Baca berita asal]

Lihat Komen