malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Hari ke-11: Para pegawai bank lulus pindah RM4b ke SRC
ADS

Pengurus Ambank cawangan Jalan Raja Chulan, R Uma Devi, dijadual meneruskan keterangannya kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Sehingga perbicaraan ditangguhkan petang semalam Uma Devi masih disoal balasa peguam bela Najib Razak, Harvinderjit Singh.

Malaysiakini menyiarkan laporan langsung perjalanan kes berprofil tinggi ini di sini dari semasa ke semasa.

Ringkasan kes Najib berhubung dana SRC RM42 juta

Najib Razak berdepan 7 tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB

  • 1 tuduhan salah guna kuasa
  • 3 tuduhan pecah amanah
  • 3 tuduhan pengubahan wang haram
  • Klik untuk perincian lanjut hakim, pasukan pendakwaan dan pembelaan

LANGSUNG

5.20 petang: DPP Sithambaram memohon perbicaraan seterusnya berlangsung pada Khamis dan meminta prosiding bermula sedikit lewat kerana pada pagi yang sama telah ditetapkan untuk pendengaran permohonan pendakwaan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah.

Beliau memberitahu hakim Nazlan permohonan itu merupakan notis usul supaya perbicaraan kes Najib Razak berkaitan SRC International didengar di hadapan hakim Lawrence sebelum satu lagi perbicaraan tertuduh melibatkan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

"Pada hari Khamis, pendakwaan mengemukakan notis usul di hadapan Hakim Collins meminta kes ini (perbicaraan SRC International) selesai sebelum kes 1MDB.

"Pendengaran (mahkamah di hadapan hakim Lawrence) ditetapkan pada pukul 9 pagi," kata Sithambaram (gambar).

Peguam bela Najib, Harvinderjit menyokong Sithambaram, berkata pihaknya tidak pasti berapa lama permohonan di hadapan hakim Lawrence akan diputuskan sebelum pihak terlibat boleh hadir ke Mahkamah Tinggi dengan hakim Nazlan untuk menyambung semula perbicaraan kes SRC International.

Nazlan kemudian membenarkan permohonan perbicaraan SRC International bersambung semula pada jam 9.30 pagi Khamis minggu ini.

Mengikut salinan permohonan pendakwaan yang ditetapkan untuk pendengaran di hadapan hakim Lawrence pada hari Khamis ini, pihak pendakwa berusaha untuk menangguhkan perbicaraan 1MDB yang didengar hakim berkenaan (dokumen pendakwaan merujuk kepada perkara itu sebagai "perbicaraan kes Tanore").

Sebelum ini, perbicaraan kes tersebut ditetapkan bermula pada 14 Mei ini.

Menurut kertas mahkamah, pihak pendakwa memohon penangguhan kerana ia melibatkan perkara kepentingan awam untuk kes jenayah yang melibatkan Najib agar dapat diselesaikan secepat mungkin.

Kertas mahkamah juga menyatakan penangguhan itu perlu dilakuka supaya pembelaan tertuduh Najib tidak akan menjadi prasangka kerana beberapa perbicaraan berasingan juga menjalankan pendengaran.

4.55 petang: Saksi Wedani memberitahu mahkamah jumlah keseluruhan sebanyak RM4 bilion dimasukkan ke dalam akaun SRC International daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) pada 2011 dan 2012.

Wedani memberi keterangan sejumlah RM2 bilion dimasukkan ke dalam akaun SRC International pada 29 Ogos 2011 dalam empat transaksi.

Jumlah yang sama dikreditkan secara sekaligus (lumpsum) dalam satu transaksi melalui Sistem Rentas (Pemindahan Dana dan Sekuriti secara Elektronik Masa Nyata) pada 28 Mac 2012.

Ketika pemeriksaan utama oleh DPP Sulaiman Kho, pengurus Unit Rentas Pusat Kiriman Wang Ambank itu menjelaskan pegawai bank yang berpengkat pengurus dan ke bawah boleh mengendalikan pemindahan maksimum sebanyak RM500 juta bagi setiap transaksi.

Jumlah melebih RM500 juta hanya boleh dilakukan oleh para pegawai bank berpengkat pengurus kanan dan ke atas, kata saksi itu memberi keterangannya.

Sulaiman: Mengapa 4 terma resit untukk pemindahan RM2 bilion ini?

Wedani: Sistem teras perbankan memerlukan surat rasmi kerana had pemindahan yang boleh dikendalikan (pegawai bank berpangkat) pengurus dan ke bawah.

Sulaiman: Maksud puan, masa pemindahan ini, kelulusan pegawai adalah pada had RM500 juta?

Wedani: Ya, betul.

Sulaiman: Untuk pindah RM2 bilion ini memang perlu empat transaksi?

Wedani: Ya, betul.

Sulaiman: Setiap satu RM500 juta?

Wedani: Ya betul.

Sulaiman: Dua dokumen dirujuk kepada puan, RM2 bilion pada SRC International, tapi satu resit. Kenapa?

Wedani: Duit masuk daripada KWAP kami terima pukul 5.40pm, Bank Negara Malaysia tutup jam 6 petang. Jadi kena masukkan sekaligus (one lump sum). Pengurus kanan dan ke atas boleh melakukan ini.

Sulaiman: Memerlukan kelulusan senior manager dan ke atas?

Wedani: Ya.

Sulaiman: Dua transaksi ini untuk KWAP telah berjaya dilakukan tindakan?

Wedani: Ya.

Sulaiman: Penyata bank SRC International ini, dikredit ke akaun SRC International?

Wedani: Ya.

Sulaiman: Puan rujuk transaksi ini... Minta puan rujuk penyata bank (P107). Penyata bank SRC International berakhir angka 9736.

Wedani: Ada.

Sulaiman: Mohon puan sahkan ada tertera pada penyata bank?

Wedani: Ada.

Sulaiman: Tarikh?

Wedani: 29 Ogos 2011.

Sulaiman: Ada berapa kemasukan duit pada tarikh itu?

Wedani: Ada empat transaksi.

Sulaiman: Jumlah?

Wedani: RM500 juta setiap kali.

Sulaiman: Mohon puan rujuk penyata bank SRC International berakhir angka 0650.

Wedani: Ada.

Sulaiman: Semak sama ada transaksi tertera pada penyata bank itu.

Wedani: Ada.

Sulaiman: Tarikh?

Wedani: 28 Mac 2012.

Sulaiman: Jumlah?

Wedani: RM2 bilion.

4.20 petang: Perbicaraan bersambung semula.

4.10 petang: Mahkamah berehat selama kira-kira 10 minit.

3.30 petang: Saksi Wedani Senen mengesahkan bahawa bahagian kedua sebanyak RM2 bilion mengalir masuk dari Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) ke dalam akaun bank SRC International pada 28 Mac 2012.

Pengurus Unit Pusat Rentas AmBank membenarkan dokumen nasihat pengesahan (confirmation advice) yang ditunjukkan oleh DPP Sulaiman Kho.

Sebelum ini, saksi R Uma Devi memberi keterangan bahawa RM2 bilion dipindahkan ke akaun SRC International pada tarikh yang sama.

Bahagian pertama sebanyak RM2 bilion telah dipindahkan dari akaun KWAP ke dalam akaun SRC International pada 26 Ogos 2011.

3.05 petang: Sejumlah RM2 bilion wang dipindahkan dari Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) kepada akaun syarikat SRC International Sdn Bhd (SRC) pada Ogos 2011.

Saksi pendakwaan yang juga pengurus Unit Rentas Pusat Kiriman Wang Ambank, Wedani Senen memberitahu mahkamah transaksi tersebut berlaku pada 26 Ogos tahun berkenaan.

Menjawab soalan timbalan pendakwa raya, Sulaiman Kho, saksi ke-21 itu memberitahu pemindahan tersebut direkodkan melalui confirmation advice yang dikeluarkan.

Sulaiman: Boleh puan maklumkan apa dokumen ni?

Wedani: Confirmation advice. Duit masuk dari Kumpulan Wang Persaraan kepada Amislamic Bank.

Sulaiman: Jumlahnya?

Wedani: RM2 billion kepada SRC pada 26 Ogos 2011.

Sulaiman: Adakah confirmation advice ini dikeluarkan Unit Rentas Ambank?

Wedani: Ya.

Terdahulu saksi itu memberitahu mahkamah confirmation advice ialah dokumen yang dikeluarkan secara automatik oleh Sistem Rentas bank terbabit bagi melengkapkan pelaksanaan pemindahan wang dari sebuah bank ke akaun Ambank.

Katanya bagi wang yang dipindahkan dari Ambank ke bank lain dokumen berkenaan dikenali sebagai completion advice.

12.30pm - Ahli perniagaan Habibul Rahman tampil sebagai saksi. Dia menggambarkan dirinya sebagai perunding perniagaan dan penasihat korporat, dengan syarikatnya SKS pakar dalam urusan penggabungan dan penyerahan.

Nama Habibul sebelum ini dibangkitkan Rabu lalu apabila peguamnya Ashraf Abdul Razak tampil sebagai saksi.

Ashraf memberitahu mahkamah bahawa bekas perdana menteri Najib Razak memberikan cek berjumlah RM2.5 juta kepada firma guamannya untuk diberikan kepada Habibul.

Peguam itu berkata dia menerima arahan untuk mengagihkan wang berkenaan kepada isteri dan anak Habibul.

12.07pm - Pasukan pendakwaan memanggi saksi ke-22 Lew Choon Lai yang merupakan pemaju hartanah kecil-kecilan dan pemilik syarikat pengurusan majlis bernama Solar Shine Sdn Bhd.

Lew memberitahu mahkamah bahawa syarikatnya dimulakan pada 2010 dengan aktiviti utama adalah menyediakan barangan cenderahati untuk diedarkan di kawasan perumahan India.

Syarikatnya juga menguruskan majlis makan malam untuk masyarakat Cina di kawasan pedalaman, kata Lew.

Dalam sesi soal balas utama oleh DPP Saifuddn, Lew berkata dia menerima sendiri cek RM1 juta daripada Najib pada 2015.

Katanya, wang berkenaan digunakan untuk kempen mempromosikan agenda 1Malaysia.

Tambah Lew, kempen itu dugunakan untuk meninjau sentimen orang ramai terhadap dasar kerajaan, sebelum laporan diserahkan kepada Najib.

11.15 pagi: Mahkamah berehat selama kira-kira 10 minit.

11 pagi: Kata Pengurus Ambank cawangan Jalan Raja Chulan dia mendapati transaksi untuk akaun bank Najib tiada melibatkan apa-apa yang mencurigakan sehingga ia boleh membimbangkan.

Kali ini disoal balas ketua pembelaan, Muhammad Shafee Abdullah, R Uma Devi berkata dia tidak tahu lebih lanjut mengenai kemasukan dana didakwa dari Kementerian Kewangan Arab Saudi semasa ia berlaku.

Muhammad Shafee

Kata Uma Devi hanya kakitangan yang bertugas ketika itu mempunyai maklumat lebih banyak mengenainya.

10.41 pagi: Ketua pasukan pembelaan Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah mengambil giliran menyoal balasa R Uma Devi.

Disoal Shafee, pengurus bank tersebut memberitahu setakat apa yang dia tahu tiada amaran dikeluarkan pihak Ambank untuk meneliti transaksi mencurigakan dalam akaun Najib.

Uma Devi juga memberitahu mahkamah menjadi tugas seseorang pegawai bank yang menguruskan transaksi pelanggan untuk mengesahkan tandatangan pada sesuatu cek dan surah arahan.

Katanya proses transaksi tidak akan diteruskan jika didapati tandatangan itu tidak sepadan dengan contoh yang ada dalam pangkalan data bank.

Hal itu, kata Uma Devi, kemudian akan dimaklumkan kepada pelanggan.

Menjawab soalan Shafee, Uma Devi menambah, mengikut maklumat yang ada padanya, tiada siasatan berkaitan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram dijalankan bagi mana-mana transaksi membabitkan akaun Najib.

Shafee: Berapa banyak dana yang boleh membawa kepada siasatan?

Uma Devi: Biasanya apabila melebihi RM50,000 bank akan membuat pertimbangan.

Shafee: Untuk mengesan sumbernya?

Uma Devi: Ya, tujuan dan sumber dana.

Shafee: Dalam kes ini, daripada apa yang kamu lihat pada semua dokumen, kamu tidak melihat sesuatu yang tidak diingini. Kamu tidak mendapati sebarang dokumen menandakan sesuatu penelitian boleh dibangkitkan berhubung dana-dana tersebut?

Uma Devi: Tidak setakat rekod yang saya ada.

Pengurus Ambank cawangan Jalan Raja Chulan itu juga memberitahu semua transaksi melibatkan dana RM10,000 atau lebih dari atau ke luar negara perlu diisytiharkan kepada Bank Negara.

Katanya perintah itu berkuat kuasa sebelum 2013 dan memerlukan pelanggan menyatakan - antara lain - tujuan dana itu dipindahkan.

Dia juga memberitahu mahkamah bank kemudian memerlukan surah kebenaran dari Bank Negara sebelum urusan itu boleh dilakukan.

9.50 pagi: R Uma Devi mengesahkan ada beberapa transaksi pantas yang menyebabkan akaun di Ambank cawangan Jalan Raja Chulan, KL, menjadi overdraf sepanjang tempoh 2014 dan mendorong transaksi selepasnya dikawal.

Semasa disoal balas peguam bela Harvinderjit Singh, pengurus Ambank itu mengesahkan beberapa dokumen yang ditunjukkan di mahkamah berhubung transaksi berkenaanm termasuk beberapa keping cek bernilai berjuta-juta ringgit.

Harvinderjit merujuk kepada satu penyata bank untuk Sept 2014 menyaksikan sekeping cek pembayaran bernilai RM5 juta dan menyebabkan akaun bernombor akhir 898 menjadi overdraf.

Gambar fail

Sehari kemudian didapati ada pemindahan kredit bernilai RM5 juta untuk mengimbangi akaun berkenaan.

Uma Devi juga mengesahkan dana sebanyak RM10 juta dipindahkan masuk dan keluar dari satu akaun pada hari yang sama pada 10 Feb 2015.

Transaksi itu melibatkan akaun yang bernombor akhir 880.

9.08 pagi: Najib Razak tiba dalam hujan lebat. Bekas perdana menteri itu mengenakan sut berwarna krim dan terus menuju ke mahkamah tempat beliau dibicarakan.

9.21 pagi: Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali masuk ke mahkamah dan Najib mengambil tempatnya dalam kandang tertuduh.

Semalam saksi ke-21 pendakwaan R Uma Devi memberitahu baki wang dalam salah satu akaun Ambank Najib berada pada jumlah RM1.9 bilion pada 2013. Untuk rekod Najib ialah perdana menteri Malaysia pada ketika itu.

Uma Devi ditanya mengenai beberapa prosedur yang diperlukan supaya transaksi dalam jumlah yang besar itu dilaporkan kepada Bank Negara.

Perbicaraan di depan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali itu juga dimaklumkan, jumlah akaun berkenaan berada pada tahap RM756 juta pada 2012.

Kata Uma Devi kira-kira RM304 juta dimasukkan ke akaun Najib pada 2011 oleh Kementerian Kewangan Arab Saudi.

Selain Harvinderjit, Najib turut diwakili peguam Mohd Yusof Zainal Abiden, Kamarul Hisham Kamaruddin, Chong Loong Men, Devanandan S Subramaniam, Farhan Read, Wan Aizuddin Wan Mohammed, Rahmat Hazlan, Muhammad Farhan Shafee, Tiara Katrina Fuad, Nur Syahirah Hanapiah, Zahria Eleena Redza dengan Muhammad Shafee Abdullah sebagai ketua.

Peguam Negara Tommy Thomas pula mengetuai pasukan pendakwaan yang dianggotai 12 timbalan pendakwa raya lain membabitkan Sulaiman Abdullah, V Sithambaram, Manoj Kurup, Ishak Mohd Yusoff, Donald Joseph Franklin, Suhaimi Ibrahim, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, Sulaiman Kho Kheng Fuei, Budiman Lutfi Mohamed, Mohd Ashraf Adrin Kamaril, Muhammad Izzat Fauzan, dan Mohd Ashraf Adrin Kamaril.

Lihat Komen