malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Maszlee: Tambah pengambilan matrikulasi situasi menang-menang
ADS

WAWANCARA | Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik menyifatkan keputusan kabinet untuk menambah 60 peratus pengambilan matrikulasi sebagai menguntungkan pelajar bumiputera dan bukan bumiputera.

Maszlee turut menyifatkan perkembangan itu sebagai sesuatu yang "bersejarah".

"Kita percaya semua pelajar berhak mendapat peluang untuk masuk matrikulasi, sebab itu kita memberi lebih banyak kerusi kepada bukan bumiputera berbanding sebelum ini.

"Untuk pertama kali dalam sejarah Malaysia.

"Dan ia dilakukan tanpa mengorbankan kerusi bumiputera. Bumiputera masih menikmati 90 peratus namun lebih banyak kerusi untuk bukan bumiputera boleh diberikan," katanya.

Dengan penambahan pengambilan itu, 4,000 pelajar bukan bumiputera berpeluang diterima masuk matrikulasi berbanding 2,500 sebelum ini.

Bagaimanapun, Maszlee tidak dapat menjawab kebimbangan sama ada penambahan pengambilan program matrikulasi itu akan menyebabkan pemegang STPM semakin sukar diterima masuk universiti awam.

Tanpa menjawab soalan yang diajukan, Maszlee menyorot bahawa matrikulasi bukan satu-satunya program untuk melanjutkan pendidikan di peringkat tinggi.

"Yang pertama dan paling utama sekali, keputusan yang kita buat berhubung matrikulasi dibuat oleh kabinet.

"Dan kita perlu tahu bahawa kemasukan universiti awam bukan hanya berdasarkan matrikulasi, kita juga ada STPM dan Pusat Asasi," katanya dalam wawancara bersama media di Putrajaya.

Program matrikulasi merupakan kursus pra-universiti yang diadakan khas untuk kemasukan ke universiti awam tempatan.

Minggu lalu, kabinet memutuskan untuk menambah pengambilan sebanyak 60 peratus iaitu 40,000 pelajar dengan mengekalkan kuota 10 peratus untuk pelajar bukan bumiputera.

Susulan itu, Biro hal ehwal universiti Pemuda DAP menyifatkan langkah itu akan menyebabkan lebih banyak masalah.

Dalam satu kenyataan ditandatangani 20 pemimpin DAP, kumpulan itu berpendapat dasar itu akan menyukarkan lepasan STPM memasuki universiti awam.

Tidak seperti matrikulasi, STPM diiktiraf sebagai kelayakan untuk memasuki banyak universiti seluruh dunia sebagai setaraf dengan A-level.

Ditanya sama ada kerajaan akan meningkatkan kelayakan kemasukan matrikulasi untuk setaraf dengan STPM, Maszlee berkata dia tidak melihat ia perlu dilakukan.

"Kita percaya pelajar kita mampu untuk berjaya dalam pelajaran mereka jika kita beri mereka peluang dan memberi galakan kepada mereka.

"Saya percaya semua pensyarah di pusat matrikulasi dan semua guru yang mengajar di peringkat STPM serta guru-guru di Pusat Asasi mempunyai kebolehan yang sama, dan semuanya mendedikasikan diri mereka untuk kebaikan negara," katanya.

Bagaimanapun, Kementerian Pendidikan setakat ini belum memutuskan kos penambahan pengambilan matrikulasi dengan Kementerian Kewangan, kata Maszlee.

[Baca berita asal]

Lihat Komen