malaysiakini logo
story-image
ADS

Umno tidak boleh lagi membela mantan presidennya Najib Razak, walaupun kempen media bekas perdana menteri itu dengan slogan "bossku" kini menjadi fenomena baru di negara ini, kata Khairy Jamaluddin.

Bekas ketua Pemuda Umno itu berkata, parti itu perlu terus bergerak ke hadapan tanpa perlu "menegakkan benang yang basah".

Jelas Khairy, Umno juga perlu mengakui kelemahan dan kesilapan lalu bagi membina kembali kekuatan parti itu.

"Beliau (Najib) berhak untuk membela diri di mahkamah dan mahkamah masyarakat, termasuk membina imej beliau di luar mahkamah.

"Kita tidak boleh tegakkan benang yang basah, Umno kena ada nilai, bila kita buat silap, jangan malu untuk mengaku kesilapan kita.

"Kalau orang Umno hendak pergi (sokongan Najib), pergilah. Tapi, Umno kena 'move on'. 

"Walaupun orang ramai pergi program 'bossku', tetap kita kena ada nilai," katanya ketika program Bicara Minda anjuran Sinar Harian di Shah Alam, hari ini.

Najib yang juga anggota parlimen Pekan berdepan dengan beberapa pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa selepas BN tewas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.

Khairy yang juga anggota parlimen Rembau antara yang lantang mengkritik Najib selepas kekalahan BN.

Selepas kekalahan BN, Khairy mengakui kesal kerana tidak berterus-terang dengan bekas Presiden Umno itu berhubung penolakan akar umbi terhadap parti itu.

Katanya, ia berlaku selepas bekas timbalan presiden, Muhyiddin Yassin, dan naib presiden, Mohd Shafie Apdal, disingkir daripada kepimpinan Umno.

Sementara itu, Khairy menyambut baik langkah Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi yang kini bercuti daripada menjalankan tugasnya.

Jelas Khairy, ia langkah yang baik untuk proses pemulihan semula parti itu, apatah lagi bekas timbalan perdana menteri itu berhadapan dengan pertuduhan di mahkamah.

"Saya tidak ada apa-apa masalah peribadi terhadap Zahid dan Najib, tapi menampakkan zaman (mereka) sudah berlalu," jelasnya.

Oleh itu, Khairy secara berterus terang beranggapan bahawa parti itu perlu terus dipimpin Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.

Lihat Komen