malaysiakini logo
story-image
ADS

Presiden PKR, Anwar Ibrahim menegaskan proses perbicaraan terhadap bekas Perdana Menteri Najib Razak tidak semudah pendakwaan yang dihadapinya ketika pentadbiran BN dahulu.

Beliau berkata, ini kerana kerajaan PH berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang dan mahu memastikan sistem kehakiman bebas tanpa sebarang campur tangan.

"Hendak dakwa mantan perdana menteri bukan mudah, bukan macam dakwa saya dulu.

"Sebab kita janji rule of law, kita janji tak mahu pengaruh hakim, kita janji proses mesti adil," katanya ketika berucap pada majis makan malam amal anjuran PKR Kuala Langat di Kuala Langat malam tadi.

Hadir sama Naib Presiden PKR, Dr A Xavier Jayakumar yang juga ketua PKR cabang Kuala Langat.

Najib yang juga bekas Presiden Umno kini berdepan 21 pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLAFTA) 2001.

Anggota Parlimen Pekan itu juga turut berdepan pertuduhan rasuah dan salahguna kuasa ketika menjadi perdana menteri.

Ambil alih jawatan PM ketika stabil

Untuk rekod Anwar yang juga bekas timbalan perdana menteri, dihukum penjara kali pertama pada tahun 1999 kerana tuduhan rasuah dan liwat.

Beliau sekali lagi dihukum penjara kerana tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya pada 10 Feb 2015.

Bagaimanapun sejak awal Anwar menegaskan tuduhan terhadapnya merupakan konspirasi untuk menjatuhkan karier politik beliau.

Sementara itu Anwar mengulangi sokongan penuh terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad bagi memulihkan negara.

Jelasnya, beliau akan mengambil alih jawatan perdana menteri selepas keadaan kembali pulih dan stabil.

"Saya ambil alih masa keadaan stabil lebih mudah, jadi kita dalam PKR, kita akan bagi sokongan kepada kerajaan," katanya lagi.

Anwar dalam pada itu berjanji akan menunaikan segala janji PH yang telah kepada rakyat sebelum ini apabila menerajui negara.

Tambahnya, beliau tidak menyalahkan rakyat yang menuntut janji, kerana PH pada masa itu memberikan janji dengan harapan menggunung tinggi.

Namun katanya, PH pada ketika itu tidak sedar masalah yang dihadapi kerajaan seteruk apa yang diwarisi hari ini.

Lihat Komen