malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Lokman: Saya cuma tolong sebar program 4 putera mahkota
ADS

Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam hari ini berkata tindakannya menyebarkan maklumat berhubung program santai teh tarik bersama empat putera mahkota adalah bertujuan meramaikan kehadiran program berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, memandangkan kiriman yang dia muat naik di media sosial diterima oleh rata-rata orang Umno, wujud persepsi seolah-olah Umno yang menganjurkan program tersebut, sehingga akhirnya menyebabkan program itu ditunda.

"Program itu program mereka, saya cuma tolong sebar bagi meramaikan lagi program tersebut.

"Kita sayang Sultan dan Tunku Mahkota kita, kita tak mahu ada yang mengata program baginda kurang sambutan pula nanti," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Jelas Lokman, dia mendapat tahu, mengenai program itu daripada rakannya yang menurutnya rapat dengan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

"Saya pun sebarkan dan tulis akan hadir.

"Memandangkan posting saya rata-rata orang Umno yang terima, maka sudah pastilah yang rancak menyebarkannya ialah dalam kalangan orang Umno juga.

"Apabila berita sampai ke pihak istana, sudah wujud persepsi seolah-olah Umno yang menganjurkan program tersebut.

"Ini menyebabkan salah seorang daripada ayahanda putera terbabit menasihati baginda untuk menunda program tersebut bagi mengelak fitnah seolah-olah empat putera mahkota tersebut campur tangan dalam soal politik dengan menghadiri program Umno," katanya.

Lokman, yang mengumumkan perkara itu melalui Whatsapp semalam juga menuduh Malaysiakini memutar belit isu berkenaan.

"Usahlah dilayan spin Malaysiakini yang mengatakan saya stress kerana empat putera mahkota tidak jadi datang program saya, tidak benar tu," katanya.

Putera mahkota murka

Semalam, Malaysiakini melaporkan Lokman yang mengumumkan program itu melalui Whatsapp. Laporan itu tidak menyatakan mana-mana penganjur.

Pengumuman Lokman itu disertai dengan keterangan: "Saya akan hadir sesi teh tarik ini dan saya juga akan hadir memberikan sokongan kepada Perhimpunan Raksaksa Membantah Statut Rom: Mempertahan Sistem Demokrasi Berparlimen Dan Raja Berperlembagaan di Dataran Merdeka jam 2.00 petang Sabtu depan 4hb May, 2019."

Bagaimanapun, sejam selepas itu, Lokman berkata program berkenaan kemungkinan tidak akan diadakan.

Perkara itu dimaklumkannya melalui pesanan susulan melalui WhatsApp:

"Stress, baru je ingat nak mengeteh dengan 4 Putera Mahkota di Mahkota Parade Isnin ini, dah ada macam-macam panggilan telefon yang mereka terima.

"Nampak gaya tak kesampaian rakyat nak minum teh dengan Tengku Mahkota kita," katanya.

Sumber yang rapat dengan istana Johor berkata putera mahkota murka dengan kenyataan Lokman berhubung acara santai teh tarik itu yang mengaitkan himpunan anti-Statut Rom yang akan diadakan Sabtu depan dan dihadiri pemimpin PAS dan Umno.

"Kalau tengok pada hantaran Facebook dan mesej-mesej dia, dia akan kaitkan program ini dengan satu lagi majlis pada 4 Mei depan sedangkan ia sama sekali tak ada kaitan.

"Apa yang membuat empat tengku mahkota terbabit - dan sudah tentu keluarga diraja - murka ialah mengaitkan dua majlis tersebut.

"Cara Lokman tulis seakan-akan putera mahkota merestui himpunan itu, atau merupakan penganjur.

"Kita tahu mereka (peserta himpunan) akan mengadakan himpunan, dan tiada masalah jika mereka mahu mengambil inisiatif sendiri, tapi tidak wajar menyampaikan mesej itu dalam satu mesej WhatsApp yang sama," kata sumber.

Sumber menegaskan bahawa acara itu dianjurkan oleh putera mahkota sendiri dan tiada kaitan dengan Lokman.

"Dan ia sepatutnya majlis yang menarik dan dianjurkan oleh empat tunku mahkota terbabit.

"Tapi saya tak tahu macam mana maklumat ini bocor kepada Lokman," kata sumber.

Semalam, Lokman berkongsi di laman sosial poster program yang dimaksudkan yang dinyatakan akan diadakan di Mahkota Parade, Bandar Hilir Melaka, jam 5.30 petang esok.

Poster berkenaan memaparkan gambar tiga putera raja iaitu Tengku Mahkota Johor, Tengku Mahkota Pahang, Raja Muda Selangor, selain gambaran seorang lagi putera raja yang dirahsiakan identitinya.

Lokman menjemput orang ramai hadir beramai-ramai pada majlis itu untuk berswafoto.

Bagaimanapun, hari ini, Pejabat Raja Muda Selangor menafikan penglibatan Tengku Amir Shah dalam program itu.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen