malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Kes Adelina: S'jaya Indonesia sambut baik keputusan AGC
ADS

Komisi (Suruhanjaya) Nasional Antikekerasan Perempuan Indonesia menyambut baik langkah Pejabat Peguam Negara (AGC) Malaysia untuk merayu keputusan mahkamah membebaskan suspek dalam kes kematian pembantu rumah, Adelina Jerima Sau.

Pesuruhjayanya, Thaufiek Zulbahary berkata proses rayuan itu diharap dapat memberikan keadilan kepada Adelina yang didakwa didera majikannya sebelum meninggal dunia di hospital akibat kegagalan organ.

"Berkaitan rayuan ini, Komnas Perempuan berharap perbicaraan adil ditegakkan dalam proses keadilan dan keputusan demi keadilan bagi Adelina.

"Antara lain; proses keadilan harus mampu menyampaikan bukti yang kuat dan menghadirkan saksi-saksi yang bebas, bebas dari tekanan, dan proses keadilan yang memperhatikan hubungan kuasa antara pihak pelaku mahupun saksi," katanya.

Beliau juga menggesa Kementerian Luar Indonesia melalui wakilnya di Malaysia untuk terus mengawasi proses rayuan itu, selaras dengan undang-undang republik mengenai perlindungan pekerja Indonesia di luar negeri.

Thaufiek memberi respons terhadap kenyataan Anggota Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim yang menerima maklumat bahawa Pejabat Peguam Negara sudah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 18 April lalu.

Sim berkata ia merupakan berita baik untuk mereka yang mahu melihat keadilan dalam kes tersebut. 

"Saya akan terus memantau perkembangan kes ini dengan pihak berkenaan agar keadilan dapat ditegakkan.

"Saya turut mengulangi keyakinan saya bahawa Peguam Negara dan juga mahkamah akan memastikan keadilan serta keabsahan undang-undang akan terus ditegakkan bagi kes ini," katanya dalam kenyataan.

Sim yang kini merupakan timbalan menteri belia dan sukan membangitkan isu itu sejak awal tahun 2018 ketika masih menjadi anggota parlimen pembangkang. 

Kes itu mendapat perhatian apabila Adelina, 21, berasal dari Nusa Tenggara Timur diselamatkan daripada majikannya selepas kakitangan Sim melaporkan kes kepada polis.

Majikan Adelina, Mas Ambika didakwa melakukan pembunuhan itu manakala anak perempuannya, R Jayavartiny didakwa mengambil Adelina bekerja secara haram.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membebaskan Ambika daripada tuduhan itu sehingga mencetuskan bantahan dan petisyen untuk merayu keputusan tersebut.

Lihat Komen