malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Perunding bebas kaji mansuh tol, caj kesesakan - Menteri
ADS

WAWANCARA | Kerajaan telah melantik satu agensi perunding bebas bagi mengkaji cadangan pemansuhan tol dan menggantikannya dengan caj kesesakan di empat lebuh raya, maklum Menteri Kerja Raya, Baru Bian hari.

Menurutnya, Kementerian Kerja Raya telah melantik satu firma perunding bebas pada bulan Januari lalu yang mana laporannya akan dikemukakan dan diputuskan dalam mesyuarat kabinet.

"Kita akan menerima kajian ini kemungkinan dalam bulan Mei. Kalau kita terima laporan pada Mei ini kita akan kajikan semua itu dan akan kemukakan dengan jemaah menteri dan jemaah menteri akan membuat keputusan.

"Kami akan membuat keputusan muktamad dalam Jun tahun ini," katanya kepada pemberita dalam temubual sempena setahun pentadbiran kerajaan PH di Pejabat KKR, Kuala Lumpur, pada Jumaat lalu.

Bagaimanapun, jelasnya semua cadangan yang dibangkitkan pemberita masih dalam proses perundingan.

"Seperti saya kata sebelum ini, yang itu dibawa ke pertimbangan oleh agensi perunding. Di mana buat masa ini ia masih dalam kajian.

"Semua cadangan ini yang dibangkitkan, dikongsikan oleh beberapa termasuk yang dipanjangkan kepada saya, semuanya masih dalam proses perundingan," katanya lagi.

Bukan janji popular sempena PRK

Kerajaan pada Februari lalu mengumumkan telah memulakan proses rundingan dengan Gamuda Berhad untuk mengambil alih konsesi empat lebuh raya yang mana syarikat itu memiliki pegangan majoriti.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, dengan kejayaan pengambilalihan tersebut, kerajaan bercadang menghapuskan mekanisma kutipan tol sedia ada.

Sebagai ganti, caj kesesakan (congestion charge) akan diperkenalkan di mana pengguna lebuh raya akan hanya dikenakan caj yang sama dengan kadar tol sedia ada pada waktu puncak selama enam jam sehari.

"Kadar tol dihapuskan sama sekali pada waktu “off-peak” antara jam 11 malam dan 5 pagi, di mana penggunaan lebuh raya adalah percuma.

"Pengguna juga akan menikmati diskaun 30 peratus berbanding kadar tol sedia ada bagi penggunaan waktu biasa," kata kenyataan tersebut.

Lebuhraya terbabit adalah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART.

Sementara itu, Baru Bian turut menafikan pengumuman pemansuhan tol berkenaan merupakan satu janji popular pada PRK DUN Semenyih.

Markah prestasi

Ketika menjawab satu soalan kenapa kerajaan membuat pengumuman awal berkenaan cadangan tersebut sedangkan ia masih dalam rundingan, Baru Bian berkata pengumuman tersebut hanya sekadar cadangan oleh kerajaan.

"Saya ingat ia hanya satu pengumuman bahawa ia satu cadangan akan diambil kira oleh kerajaan," jelas beliau lagi.

Ketika ditanya pemberita untuk memberikan markah prestasinya, Baru yang juga MP Selangau berkata tidak adil untuk beliau menilai dirinya sendiri.

"Tetapi bagi saya, bukan saya memberi skor atau rating bagi saya itu bukan adil. Biarkan, rakyat mengadili kita dengan kejayaan kita. Jadi, saya biarkan ini kepada rakyat," jawabnya.

Menjelaskan lanjut, beliau berkata kerajaan PH masih baru untuk dibandingkan dengan apa yang telah dibuat pentadbiran dahulu.

"Oleh itu, saya berpendapat bahawa 'kami masih baru'. Jadi, kita tidak dapat membandingkan dengan apa yang telah dibuat dulunya.

"Banyak yang saya tak tahu semasa dilantik. Tetapi, saya belajar banyak. 

"Saya percaya ia satu proses berterusan. Kita nak buatkan apa yang terbaik, itulah tujuan kita dengan ikhlas dan terbaik. Itu yang penting," katanya lagi.  

Lihat Komen