Pengiklanan

    Hadi: Kerjasama PAS-Umno bukan menjurus negara Taliban

    (Dikemaskini )

    Presiden PAS Abdul Hadi Awang mempertikaikan mengapa hubungan kerjasama politik PAS dan Umno digelar sebagai menjurus kepada "negara Taliban".

    Sedangkan terdapat pihak yang menimbulkan isu yang berunsurkan sentimen perkauman seperti tuntutan berkaitan sekolah Cina tidak dilabelkan sebagai perkauman, katanya.

    "Apa yang salah apabila dijadikan akidah dan ideologi sehingga sampai ke peringkat fanatik. Islam pun melarang dan mengharamkan fanatik terhadap kaum.

    "Orang dapat melihat bila orang Melayu hendak berbaik dan bekerjasama dianggap sebagai perkauman, fanatik agama dan digelar Taliban, bila mereka buat tidak perkauman.

    "Mereka membuat tuntutan-tuntutan untuk sekolah Cina dan sekolah lain, ini bukan perkauman?," katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

    Beliau berkata demikian menerusi soalan yang ditujukan kepadanya berkenaan kerjasama antara PAS dan Umno itu sehingga penyatuan itu dikatakan menyebabkan negara ini boleh jadi Taliban.

    Tak mudah undur balik

    Bagaimanapun, Abdul Hadi tidak menamakan pihak yang dimaksudkan dalam hantarannya itu secara khusus.

    Namun, ia dipercayai ditujukan kepada DAP dan salah seorang anggota parlimennya Nga Kor Ming yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat, yang sebelum ini melabelkan Malaysia akan menjadi "negara Taliban" jika kedua-dua parti pembangkang berkuasa.

    MP Marang itu juga berkata, beliau menyifatkan kenyataan tersebut seperti orang yang terlajak kata dan sukar untuk dilupakan rakyat, memandangkan ia sudah diketahui umum.

    "Tidak mudah untuk undur balik, dan sebab itu mesti cermat dalam membuat kenyataan ini," katanya.

    Jelasnya, tidak menjadi satu kesalahan apabila individu yang sesama kaum untuk bekerjasama dan bersatu.

    "Malah kita juga sudah memperkenalkan konsep sayang pada bangsa merupakan sesuatu yang tidak menjadi kesalahan.

    "Orang Melayu sayang pada Melayu, Cina sayang pada Cina, India sayang pada India.

    "Sayang pada kaum ini tidak salah. Ini adalah naluri manusia.

    "Tidak menjadi kesalahan juga orang Melayu sayang sama-sama dia, hendak bersatu atau bekerjasama sesama mereka tidak jadi salah," katanya. 

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih