malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Najib akui BN pernah bincang Statut Rom
Diterbitkan:  Apr 27, 2019 7:02 PM
Dikemaskini: 11:02 AM
ADS

Bekas perdana menteri Najib Razak hari ini mengakui pentadbiran BN terdahulu pernah membincangkan untuk memeterai perjanjian Statut Rom tetapi berkata ia tidak menjadi kenyataan atas beberapa sebab.

Najib mengulas kenyataan Peguam Negara Tommy Thomas yang berkata kerajaan BN sebelum ini yang memulakan langkah untuk memeterai Statut Rom tetapi kini menyerang pentadbiran PH selepas kerajaan akhirnya bersetuju menandatanganinya.

"Saya tak nafi bahawa kerajaan BN semasa saya PM pernah berbincang Statut Rom.

"Memang tugas sebuah kerajaan yang bertanggungjawab untuk berbincang dan mempertimbangkan konvenyen PBB (UN). Namun, mengapa perbincangan kerajaan BN pada bulan Mac 2011 masih tidak diratifikasi tujuh tahun kemudian sehingga PRU14? Tentu ada sebabnya.

"Ini ialah kerana kerajaan BN mendengar dan menerima nasihat dari peguam negara pada masa itu bahawa ianya ada kemungkinan akan bercanggah dengan perlembagaan dan undang-undang negara," kata Najib pada suatu hantaran di Facebook hari ini.

Peguam negara pada ketika itu ialah Abdul Gani Patail dan Mohamed Apandi Ali.

Pusingan-U PH 

Najib berkata pendekatan BN itu berbeza dengan pentadbiran PH.

"Berbeza dengan zaman PH. Kerajaan BN tak pernah umum kepada satu dunia bahawa kita akan meratifikasi statut Rom. Selepas itu, kena (buat) pusingan-U," kata Najib.

Terdahulu pentadbiran PH menandatangani Statut Rom, sebelum kemudiannya menuruti gesaan pihak tertentu dengan menarik semula penyertaan Malaysia.

Kerajaan menjelaskan perjanjian Statut Rom ICC Mahkamah Jenayah Antarabangsa yang mengendalikan kes pembunuhan beramai-ramai, jenayah kemanusiaan, jenayah perang dan jenayah pencerobohan tidak akan mengganggu kedudukan Yang Di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah penyertaan Malaysia ke dalam Mahkamah Jenayah Antarabangsa akan mengancam kedudukan Raja-Raja Melayu, agama Islam dan orang Melayu.

Umno dan kumpulan hak Melayu juga mengambil pendirian yang sama.

Baginda pewaris takhta Johor juga melobi Majlis Raja-Raja Melayu supaya menolak Statut Rom yang menyebabkan Malaysia terpaksa menarik balik menyertai perjanjian Statut Rom ICC.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen