malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Aktivis pelajar: PH tak patut salahkan orang lain isu Statut Rom, Icerd
ADS

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan PH bersikap "tidak bertanggungjawab" kerana menyalahkan pihak lain berhubung kekeliruan yang akhirnya membawa kepada keputusan menarik balik penyertaan konvensyen antarabangsa, kata aktivis pelajar Asheeq Ali Sethi Alivi.

Kata Asheeq, ia termasuklah kenyataan Dr Mahathir menyalahkan pihak yang dikatakan "mahu bebas memukul orang" dan kerabat tertentu berhubung keputusan kerajaan menarik balik penyertaan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) dan Statut Rom.

"Jangan hanya menarik balik keputusan dan kata 'orang lain mahu bebas pukul orang' sebagai sebab tarik balik. Saya rasa itu sangat tidak bertanggungjawab untuk seorang perdana menteri mengatakan seperti itu.

"Kekeliruan itu perlu ditangani," katanya dalam forum membincangkan isu Statut Rom anjuran kumpulan aktivis pelajar di Universiti Malaya hari ini.

Ketika mengumumkan keputusan kerajaan untuk tidak menyertai Statut Rom, Dr Mahathir berkata keputusan itu dibuat kerana ada pihak tertentu "yang mahu bebas memukul orang".

Perdana menteri itu juga mendakwa ada usaha pihak tertentu termasuk kerabat raja untuk melagakan pihak istana dengan kerajaan.

Asheeq juga membidas kerajaan yang menurutnya menyalahkan empat ahli akademik yang membentangkan rumusan eksekutif yang dikatakan digunakan untuk meyakinkan majlis raja-raja untuk menolah Statut Rom.

Melibatkan perpaduan rakyat

Asheeq merupakan salah seorang aktivis pelajar yang mendedahkan rumusan eksekutif empat ahli akademik berkenaan awal bulan ini.

Dokumen berkenaan dikatakan dibentangkan pada 2 April oleh profesor undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) Rahmat Mohamad, profesosor undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Shamrahayu Abdul Aziz dan pensyarah undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) Fareed Mohd Hassan dan Hisham Hanapi.

Menyifatkan hujah dalam dokumen itu sebagai berat sebelah, kumpulan aktivis pelajar berkenaan berkata mereka mendedahkan dokumen itu untuk memulakan perbincangan berhubung Statut Rom.

"Kerajaan sepatutnya bertanggungjawab. Jangan hanya salahkan empat ahli akademik berkenaan.

"Kita dedahkan dokumen supaya boleh didebatkan," kata Asheeq lagi.

Asheeq menggesa kerajaan menangani isu seumpamanya dengan berhati-hati kerana menurutnya ia melibatkan perpaduan rakyat di negara ini.

"Sejak 9 Mei 2018 rakyat berpecah-belah dan saya menyalahkan kerajaan sepenuhnya kerana tidak menangani isu seperti Icerd dengan baik. Saya tak tahu apa menteri perpaduan (P Waythamoorthy) buat.

"Anda boleh salahkan profesor, salahkan siapa yang mahu disalahkan, tapi jangan lupa, anda mempunyai tanggungjawab untuk memastikan negara ini kekal aman," katanya."

Bagaimanapun, untuk rekod, tiada laporan media yang memetik kerajaan menyalahkan empat ahli akademik berkenaan secara langsung. Kementerian Pendidikan juga menafikan dakwaan yang mengatakan status ahli akademik itu sedang dibincangkan.

Empat ahli akademik berkenaan sebelum ini dijemput menghadiri forum yang diadakan hari ini, namun kesemua mereka tidak hadir.

[Baca berita asal]

Lihat Komen