malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hanipa: Umno mungkin dapat pujian 'bunyi Arab' jika tak kalah PRU14
Diterbitkan:  Apr 26, 2019 5:48 PM
Dikemaskini: 9:48 AM
ADS

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin berkata, perubahan kerajaan yang berlaku pada 9 Mei tahun lalu membawa kesan baik dan 'buruk' kepada negara ini.

Antara lain katanya ialah rakyat akan terus mendengar 'dendangan' puji-pujian ke atas pemimpin kerajaan tertentu.

Pujian itu, kata Hanipa, termasuklah daripada "kekasih baru" Umno dan BN.

Bagaimanapun, tanpa BN kembali berkuasa orang ramai tidak lagi dapat mendengar puji-pujian yang mungkin didendangkan "kekasih baru" berkenaan.

"Mungkin bunyi Arab kot irama pujian itu," katanya menyindir.

Tanpa menamakan siapa "kekasih baru" itu, anggota parlimen Sepang itu dipercayai merujuk kepada PAS yang kini bekerjasama erat dengan Umno dan BN.

Melalui hantaran di media sosial itu Hanipa mengepilkan laporan media mengenai perbicaraan kes pecah amanah dan salah guna kuasa melibatkan Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

Nasib baik ada perubahan

Dalam perbicaraan itu mahkamah diberitahu dana berjumlah RM64 juta dimasukkan ke akaun milik bekas perdana menteri terbabit di antara 2014 dan 2015.

Menurut Pengurus Ambank cawangan Jalan Raja Chulan di Kuala Lumpur, R Uma Devi, daripada jumlah itu RM37 juta dibawa masuk ke akaun Najib dari akaun syarikat Ihsan Perdana Sdn Bhd.

Ihsan Perdana ialah syarikat yang ditubuhkan untuk menjalankan kerja-kerja tanggungjawab sosial untuk SRC International Sdn Bhd yang ketika itu menjadi anak syarikat 1MDB.

Untuk rekod ketika PH mengecam Najib dan pentadbirannya dalam isu 1MDB, beberapa pemimpin PAS menyatakan rasa puas hati mereka dengan penjelasan diberi Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat pelaburan milik penuh kerajaan itu, Arul Kanda Kandasamy.

Menjelang PRU ke-14 lalu PAS dan Umno mengukuhkan kerjasama di sebalik perseteruan sengit kedua-dua parti selama berpuluh-puluh tahun.

Kerjasama berkenaan menjadi lebih akrab apabila BN dikalahkan PH pada PRU yang berlangsung hampir setahun lalu.

Kata Hanipa, dengan adanya perubahan kerajaanlah maka rakyat berpeluang tahu mengenai aliran wang melibatkan akaun Najib.

"Alhamdulillah nasib baik ada perubahan gomen (kerajaan) pada 9 Mei 2018, baru dapat dengar ini semua," katanya.

Lihat Komen