malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kaji selidik: Keyakinan terhadap pengurusan ekonomi PH merosot
Diterbitkan:  Apr 26, 2019 5:31 PM
Dikemaskini: 9:39 AM
ADS

Keyakinan pengundi terhadap pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dalam mengurus ekonomi setakat bulan lalu jauh merosot berbanding ketika mula mengambil alih kuasa pada Mei 2018, menurut kaji selidik Merdeka Center.

Badan kaji selidik pendapat awam itu mendapati kadar puas hati terhadap PH dalam soal ekonomi hanya 40 peratus, berbanding 56 peratus pada Mei 2018.

Kadar tidak puas hati dalam soal ekonomi pula meningkat dari 12 peratus ke 52 peratus untuk tempoh sama, menurut kaji selidik itu lagi.

Kadar itu bagaimanapun baik sedikit berbanding keseluruhan penggal pentadbiran BN yang lalu.

Pada Oktober 2015, kadar puas hati terhadap ekonomi lebih rendah berbanding 40 peratus dan tidak pulih sehingga PRU ke-14 Mei tahun lalu.

Sementara itu, kadar tidak puas hati terhadap BN lebih tinggi daripada 52 peratus sejak Oktober 2014 dan kekal sehingga PRU lalu.

Bagaimanapun jika kadar PH terus merosot ia akan meletakkan gabungan itu di tahap yang lebih kurang sama dengan BN.

Kaji selidik yang melibatkan 1,204 responden itu berkata sokongan awam terhadap PH menurun selepas realiti sebagai kerajaan yang mentadbir mula mengambil tempat.

Ia mendapati ekonomi menjadi soal yang paling penting buat pengundi, dengan 63 peratus responden berpandangan ia menjadi "masalah nombor satu" negara.

Tidak sampai sepuluh peratus responden yang merasakan isu-isu seperti jenayah, masalah sosial, isu perkauman atau politik sebagai isu paling utama.

Beri lebih masa

Walaupun dengan kadar keyakinan yang kian merosot, majoriti responden setuju kerajaan PH perlu diberi lebih masa untuk menunaikan janji-janjinya.

Sejumlah 67 peratus responden berkata PH perlu lebih masa, dan hanya 30 peratus berpandangan sebaliknya.

Dari segi pecahan kaum, 53 peratus responden Melayu setuju PH perlu lebih masa, manakala 44 peratus tidak.

Sementara itu, 87 peratus responden Cina dan 90 peratus responden India setuju PH perlukan lebih masa.

Tiga isu utama yang dianggap penting oleh responden ialah inflasi (54 peratus), rasuah (23 peratus) dan soal hak Melayu atau layanan sama rata (23 peratus).

Jika dibandingkan dengan kaji selidik Merdeka Center pada Ogos 2018, peratusan responden yang merasakan inflasi sebagai isu penting meningkat empat peratus, manakala soal hak melayu atau layanan sama rata naik satu peratus.

Bagaimanapun peratusan responden yang melihat rasuah sebagai isu penting turun 10 peratus (iaitu 23 peratus), berbanding 33 peratus pada Ogos 2018. Isu tersebut antara topik tiga tertinggi oleh responden dalam kedua-dua kaji selidik.

Lihat Komen