malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dr M memang 'berhenti', gurau Muhyiddin
Diterbitkan:  Apr 26, 2019 4:29 PM
Dikemaskini: 8:29 AM
ADS

Ditanya mengenai dakwaan Dr Mahathir Mohamad sempat terfikir untuk meletak jawatan ekoran perselisihan pendapat mengenai rombakan exco Johor baru-baru ini, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin secara berseloroh mengeyakannya.

Kata Muhyiddin perdana menteri memang sudah "berhenti" dan pada masa sama berada di China.

Bagaimanapun menteri dalam negeri itu segera menjelasan dakwaan bahawa Mahathir bercadang meletak jawatan semasa berselisih pendapat mengenai barisan exco Johor itu sebagai khabar angin semata-mata.

Ditanya mengenai laporan media mengenai hal itu Muhyiddin berkata sambil tersenyum: "Tanyalah orang yang bercakap tu. Saya tak tahu pun. (Saya) nampak Tun (Mahathir) dah berhenti dah kat China... berehat."

Menurut bekas timbalan perdana menteri itu lagi Mahathir berada di China sambil menjalankan tugas negara.

"Tak berbangkit dia meletakkan jawatan. Itu rekaan saja,” katanya pada sidang media selepas perasmian Sambutan Hari Ulang Tahun Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) ke-47 peringkat Johor di Pagoh hari ini.

Sidang media itu turut disiarkan secara langsung di media sosial beliau.

Doakan baik atau tak baik

Terdahulu Muhyiddin diminta mengulas status perdana menteri itu berikutan dikatakan tidak berpuas hati dengan rombakan exco di Johor baru-baru ini.

Untuk rekod Mahathir sedang menjalankan lawatan kerja selama lima hari di China mulai 24 April.

Beliau sebelum ini dilaporkan begitu kecewa dan berang kerana menteri besar baru Johor Dr Sahruddin Jamal tidak mematuhi nasihatnya untuk mengekalkan exco negeri.

Selepas mengangkat sumpah Adun Bukit Kepong itu menggantikan Adun Puteriwangsa dari Bersatu, Mazlan Bujang dan Adun Skudai, Tan Hong Pin (DAP) dengan dua tokoh lain.


Baca Sumber: Dr M terfikir mahu bersara


Sementara itu Muhyiddin menjelaskan hubungannya dengan Mahathir tidak mempunyai sebarang masalah meskipun terdapat perbezaan pendapat dalam sesetengah perkara.

Beliau yang menjawab soalan mengenai situasi hubungan kedua-dua mereka menyifatkan perbezaan pandangan dalam politik adalah satu yang biasa dan tidak berasakan ia satu perbalahan di antara pemimpin dalam parti.

“Awak nak doakan baik ke tak baik? Tanya tu macam kalau boleh nak tengok bergaduh... macam tengok drama ada lawan, perang ke tak sedap. Kami tak begitu.

“Tapi iyalah, dalam mana-mana proses politik kadang-kadang ada perbezaan dari segi pandangan.

“Tapi apa pun kita harus terima hakikat sebagai bukti bahawa parti kita ni demokratik dan kita tak sekat sesiapa untuk memberi pendapat,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga anggota parlimen Pagoh turut menafikan terdapat dua kumpulan dalam Bersatu seperti yang didakwa oleh Mazlan susulan daripada rombakan exco Johor.

Muhyiddin berkata andaian itu bukan sahaja tidak tepat malah tidak wajar dikeluarkan.

“Jadi tak eloklah buat kenyataan sebegitu dan saya harap kita bekerjasama, ketepikan perbezaan ataupun rasa kurang puas hati dalam apa sebab sekali pun.

“Kita tumpukan usaha untuk sokong pimpinan kerajaan negeri dan melaksanakan usaha pembangunan,” katanya.

Lihat Komen