malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Muhyiddin nafi wujud dua kem dalam Bersatu
ADS

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Muhyiddin Yassin menafikan wujud dua 'team' (kem) dalam parti itu dan menegaskan bahawa tiada apa-apa masalah dalam hubungannya dengan Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad.

Muhyiddin berkata dalam Bersatu, hanya ada satu "team Bersatu” sahaja dan jika ada dakwaan kononnya ada dua team, itu hanyalah persepsi sesetengah masyarakat yang melihat seolah-olah berlakunya perbalahan dan perpecahan dalam parti.

Katanya, adalah biasa jika anggota mempunyai pendapat dan pandangan berbeza dalam mana-mana organisasi pun, namun, itu tidak boleh dianggap sebagai satu perpecahan.

“Kita telah bekerja membentuk kerjasama yang baik dengan parti-parti seperti PKR, Amanah sehingga kita berjaya dan hari ini, kita telah dalam kerajaan. Jadi, kami (Bersatu) amat sedar bahawa perpaduan, kerjasama amat penting.

“Jadi, saya harap tiada pihak yang hendak mencari kesempatan atau sengaja hendak mereka-reka cerita yang tidak betul supaya mencemarkan nama baik parti saya, parti kita.

“Yang penting ialah untuk melihat kerjasama ini dapat berterusan. Tiada apa-apa konflik yang berlaku di antara kumpulan tertinggi sejak Bersatu bermula hingga ke hari ini,” katanya sebagai menjawab dakwaan yang mengatakan  terdapat ‘team Muhyiddin' dan team 'Dr Mahathir’ dalam Bersatu ketika ini.

Muhyiddin ditemui dalam sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Ulang Tahun Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang ke-47 peringkat negeri Johor di Hab Pendidikan Tinggi Pagoh di Johor hari ini.

Sementara itu, ditanya pula sejauh mana kebenaran kenyataan seorang bekas exco Johor yang menuduh barisan exco negeri itu yang baru adalah team beliau, Muhyiddin menegaskan andaian itu juga tidak tepat serta tidak membantu menunjukkan suasana yang baik bahawa kerajaan yang dipimpin Menteri Besar sekarang (Dr Sahruddin Jamal) akan terus melaksanakan amanah dan tanggungjawab mereka.

“Waktu Mazlan Bujang (bekas exco yang membuat dakwaan) menjadi exco dahulu, dia tidak kata pula dia team saya. Patutnya dulu pun dia kata team saya.

“Tidaklah baik dari sesiapa sahaja pun mengeluarkan kenyataan, seolah-olah ada team ini ada team itu. Tidak ada, pasal semasa saya tubuhkan parti ini, saya melihat team Bersatu sahaja atau pun team PH sahaja.

"Jadi tidak eloklah membuat kenyataan begitu. Sebenarnya, kita dalam satu pakatan, harus bekerjasama ketepikan perbezaan atau rasa kurang puas hati walau apa sekali pun perkara. Tumpukan pada usaha untuk menyokong kepimpinan kerajaan negeri dan melaksanakan usaha pembangunan,” katanya.

Tidak patut bangkit

Ditanya lagi sama ada ketidakpuasan hati itu turut akan mengakibatkan perpecahan dalam Bersatu Johor, Muhyiddin berkata beliau berharap ia tidak begitu.

“...pasal kita kena ingat, kita menang dulu pun kerana kita bekerjasama sebagai satu pasukan yang bersatu. Kalau tujuannya hanya untuk memecah-belahkan supaya kita kalah, itu niat tidak ikhlas. Sepatutnya tidak berbangkit soal itu,” katanya.

Minggu lepas, menerusi beberapa laporan akhbar, Mazlan dipetik sebagai berkata terdapat exco-exco baru yang dipilih dalam barisan exco negeri Johor merupakan “team Muhyiddin”.

Namun, ia telah dinafikan oleh Menteri Besar Johor sendiri yang mengatakan kesemua exco dipilih merupakan pilihannya sendiri, untuk melaksanakan aspirasi kerajaan PH demi kebaikan rakyat Johor.

Sementara itu, penegasan Muhyiddin bahawa tiada apa-apa masalah dalam hubungannya dengan Perdana Menteri sekali gus menolak cakap-cakap yang mengatakan hubungannya dengan Dr Mahathir terjejas berikutan isu pelantikan exco Johor, baru-baru ini.

“Kami tidak begitu. Ya lah, dalam mana-mana proses politik atau lain-lain, kadang-kadang ada perbezaan dari segi pandangan. Itu mana-mana pun ada tetapi apapun ia harus dimatikan sebagai bukti parti kita ini demokratik dan kita tidak menyekat, menghalang sesiapa memberi pandangan, pendapat.

“Disebabkan itu, kalau orang mengandaikan perbezaan berkenaan ialah perpecahan dan perbelahan, saya tidak fikir itu satu perkara yang betul. Setakat ini, saya tidak ada apa-apa masalah dan masih terus memimpin parti bersama Tun M, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan rakan-rakan lain di peringkat nasional dan negeri,” kata Muhyiddin.

- Bernama

Lihat Komen