malaysiakini logo
story-image
ADS

Sudah sampai masanya gaji yang dinikmati ketua pegawai eksekutif (CEO) di Malaysia dikenakan siling, kata Anggota Jawatankuasa Himpunan 1 Mei 2019, S Arutchelvan.

Katanya, CEO di Malaysia menikmati gaji yang "terlampau tinggi" sehingga menyebabkan jurang pendapatan yang terlalu lebar dengan pekerja biasa.

“Macam satu bank ini, CEO dapat RM830,000 sebulan, hampir RM2,700 sejam. Tak masuk akal. (CEO) Bank lagi satu dapat kira-kira RM425,000 sebulan.

“Sama juga syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC), gaji (CEO) sangat tinggi dan jurang pendapatan terlalu lebar,” katanya kepada Malaysiakini selepas sidang media jawatankuasa itu di Kuala Lumpur hari ini.

Arutchelvan berkata demikian sebagai mengulas tentang tuntutan gaji minimum RM1,800 yang akan menjadi isu utama pada Perhimpunan Aman Sambutan Hari Pekerja Sedunia 2019 yang akan dianjurkan jawatankuasa itu pada 1 Mei, Sabtu minggu depan.

Selain itu, tambah Arutchelvan, gaji golongan berpendapatan rendah pula perlu dinaikkan memandangkan golongan berkenaan yang terlibat dalam aktiviti penjanaan ekonomi di peringkat asas.

“Jika naikkan gaji orang yang dapat gaji rendah, dia biasanya membelanjakan duit dalam ekonomi. Dia tak main saham.

“Orang yang gaji tinggi ini, kalau naik gaji, dia akan beli rumah lagi satu. Jadi hujah kita, (golongan) bergaji rendah itu yang naikkan penjanaan ekonomi kerana mereka terlibat dalam benda-benda yang asas.

“Kalau naik gaji keseluruhan pun okey, tapi di peringkat sangat tinggi tu, kena ada siling. Mengapa mereka tak ada siling?” soalnya yang juga merupakan Anggota Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Gaji minimum

Perhimpunan yang bertemakan 'Tinggikan Gaji Hentikan Diskriminasi' itu dianjurkan oleh Jawatankuasa Himpunan 1 Mei dan akan mengetengahkan 21 tuntutan dalam deklarasinya.

Selain PSM, jawatankuasa itu turut dianggotai kumpulan masyarakat, NGO, dan parti politik, antaranya Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Gabungan Pembebasan Akademik (GPA), dan Sisters in Sislam (SIS).

Peserta himpunan sempena Hari Pekerja itu akan berarak dari Maju Junction ke Medan Pasar di ibu kota bermula jam 10.30 pagi.

Untuk rekod, Akta Gaji Minimum digubal pada tahun 2012.

Dalam manifesto PRU-14, PH berjanji untuk menyeleraskan gaji minimum RM1,500 di seluruh semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, berkuat kuasa 1 Jan 2019, semua majikan dikehendaki mematahui Perintah Gaji Minimum (Pindaan) 2018 yang menetapkan gaji minimum RM1,100.

Jelas PH, kenaikan gaji akan dilakukan secara berperingkat sehingga lima tahun dengan penyelarasannya disemak sekurang-kurangnya dua tahun sekali oleh Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN).

Turut menyentuh tentang isu gaji minimum, seorang lagi anggota jawatankuasa berkenaan, E Nalini yang membidas kerajaan PH kerana tidak menunaikan janji berhubung pelaksanaan gaji minimum.

“Saya rasa isu gaji ialah topik yang pernah dibincang di seluruh negara oleh semua orang, selepas banyak pusingan U dari kerajaan seperti Akta Gaji Minima yang dijanjikan RM1,500, tapi sekarang hanya RM1,100.

“Juga pada tahun lepas, laporan dari Bank Negara Malaysia (BMM) (memberi) tamparan kepada semua orang dan kerajaan, mengingatkan betapa teruknya keadaan gaji di Malaysia,” katanya.

Laporan Tahunan 2018 Bank Negara Malaysia (BNM) yang dikeluarkan Mac merumuskan gaji permulaan bulanan buat siswazah baru menurun sejak 2010 selepas mengambil kira fakor inflasi.

Menurut laporan tersebut, siswazah baru yang berkelulusan diploma mendapat gaji benar sebanyak RM1,376 pada 2018 berbanding RM1,458 pada 2010.

Sementara itu, purata gaji pemegang ijazah sarjana muda pula turut turun kepada RM1,983 pada 2018 berbanding RM1,993 pada 2010.

Mengulas lebih lanjut, Arutchelvan menjelaskan, gaji di Malaysia bukan sahaja dibayar rendah, malah tidak setanding dengan produktiviti yang ditonjolkan, seperti yang turut dinyatakan dalam laporan BNM.

Katanya lagi, hal itu diburukkan apabila kesatuan pekerja yang mempunyai bargaining power  (kuasa berunding) rendah.

Tambahnya, jumlah ahli kesatuan pekerja di Malaysia juga rendah, kira-kira 6 peratus sahaja berbanding 25 peratus purata keahlian seluruh dunia.

“Jadi, kesatuan macam kurang upaya, tak boleh berfungsi, macam mana nak lawan golongan kapitalis yang dibela kerajaan?

“Jadi kita nampak sekarang ini memang (kena) beri tekanan untuk naikkan gaji. [...] Berdasarkan pengiraan kita, gaji RM1,100 ini hanya melibatkan kurang daripada tiga peratus pekerja di seluruh negara,” tambahnya lagi.

Lihat Komen