malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Syabas: Pemulihan bekalan air di tahap 93%
Diterbitkan:  Apr 26, 2019 3:02 PM
Dikemaskini: 7:55 AM
ADS

Gangguan bekalan air berjadual susulan aktiviti penambahbaikan sistem bekalan air di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRASSP2) hampir pulih sepenuhnya dengan peratusan pemulihan keseluruhan berada di tahap 93 peratus.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) Abdul Raof Ahmad berkata tiga kawasan iaitu Gombak, Kuala Selangor dan Kuala Langat telah mencapai status pemulihan 100 peratus, Kuala Lumpur (89 peratus), Petaling (98 peratus) dan Klang/Shah Alam pada tahap 91 peratus.

“Manakala semua kawasan yang tersenarai dan dijadualkan pulih pada pukul 11 pagi ini telah pulih sepenuhnya seawal pukul 6 pagi tadi.

“Bantuan lori-lori tangki air digerakkan ke kawasan yang masih belum pulih dan segala tindakan perlu diambil bagi menstabilkan tekanan dan pemulihan terutama di kawasan dan premis yang berada di lokasi tinggi serta yang berada di penghujung sistem agihan,” katanya.

Abdul Raof berkata pihaknya turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat khususnya pelanggan yang telah memberikan kerjasama dalam usaha meningkatkan perkhidmatan bekalan air dan memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami sepanjang tempoh gangguan itu.

Henti tugas LRA SSP2 yang bermula Rabu lepas menyebabkan gangguan bekalan air hingga 86 jam, melibatkan 620,835 akaun atau 4,143,465 pengguna di 577 kawasan seperti di Shah Alam, Klang, Kuala Lumpur, Petaling, Gombak, Kuala Langat serta Kuala Selangor.

- Bernama

Lihat Komen